Pendakwa raya bantah permohonan Na’imah cabar kesahihan tuduhan SPRM di Mahkamah Tinggi

Berdasarkan salinan affidavit, Timbalan Pendakwaraya Maziah Mohaide berkata tiada keperluan untuk kesnya dirujuk ke Mahkamah Tinggi

11:14 AM MYT

 


KUALA LUMPUR — Permohonan Toh Puan Na’imah Abdul Khalid bagi mencabar kesahihan tuduhan terhadapnya di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke Mahkamah Tinggi, dibantah oleh pendakwa raya.

Berdasarkan salinan affidavit, Timbalan Pendakwa Raya Maziah Mohaide berkata tiada keperluan untuk kesnya dirujuk ke Mahkamah Tinggi.

Maziah berhujah, Seksyen 36 Akta SPRM (ASPRM) 2009 adalah peruntukan yang memberi kuasa kepada pegawai SPRM untuk memperoleh maklumat bagi tujuan siasatan.

Beliau berkata Na’imah, 66, yang juga isteri bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, dilayan sama rata di sisi undang-undang dan tiada diskriminasi terhadapnya di dalam konteks Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan apabila beliau diperintahkan untuk mematuhi notis di bawah Seksyen 36 Akta SPRM 2009.

“Tindakan Pegawai Suruhanjaya tersebut adalah sama seperti mana-mana orang lain yang disiasat di bawah Akta SPRM 2009,” Maziah berkata di dalam affidavit tersebut.

Dua anaknya, Muhammad Amin Zainuddin Daim dan Muhammad Amir Zainuddin Daim turut menemani Na’imah di dalam mahkamah.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menetapkan 21 Mei ini untuk mendengar permohonan beliau.

Menerusi notis usul yang difailkan pada 5 Mac lalu, di bawah Seksyen 30(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964, Na’imah memohon Mahkamah Sesyen memberikan suatu perintah untuk merujuk soalan mengenai kesan peruntukan Perlembagaan Persekutuan kepada Mahkamah Tinggi.

Persoalan itu adalah sama ada Seksyen 30(5) dan 36(2) Akta SPRM 2009 melanggar hak seseorang untuk dilindungi daripada membabitkan diri dengan suatu kesalahan serta hak untuk tidak dipaksa memberikan keterangan dalam suatu kesalahan dan yang akan digunakan dalam prosiding terhadapnya serta atau hak untuk suatu perbicaraan adil.

Beliau juga memohon mahkamah menentukan sama ada ia melanggar Perkara 5 (kebebasan diri) serta Perkara 8 (perlindungan sama rata di sisi undang-undang) Perlembagaan Persekutuan dan seterusnya menjadikannya tidak berperlembagaan serta terbatal.

Na’imah turut memohon supaya prosiding di Mahkamah Sesyen berhubung pertuduhan itu ditangguhkan sehingga permohonan itu didengar dan diputuskan serta perintah lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Pada 23 Januari lepas, Na’imah, 66, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan gagal mematuhi notis SPRM dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk Menara Ilham serta beberapa hartanah sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Harta-harta itu melibatkan dua buah syarikat, Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd serta dua kenderaan mewah Mercedez Benz.

Selain itu, lapan hartanah didakwa turut gagal diisytiharkan iaitu Menara Ilham di Jalan Binjai di sini, kediaman di Pesiaran Bukit Tunku serta tanah dan bangunan berstatus pegangan bebas di Bukit Tunku, Pulau Pinang dan Taman Tun Dr Ismail. – 22 Mac, 2024

Topics

 

Hangat

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related