RM2? RM3? Patutnya turunkan sehingga RM10: Ini kehendak pengguna

Kerajaan menerusi Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol) bersetuju harga jualan runcit BPI diturunkan antara RM2 hingga RM3 di pasaran

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR — Keputusan kerajaan menurunkan harga jualan runcit beras putih import (BPI) antara RM2 hingga RM3 di pasaran ‘tidak disambut gembira’ oleh pengguna yang mendakwa ia masih lagi mahal di sebalik peningkatan kos sara hidup ketika ini.

Berdasarkan tinjauan Scoop, pengguna mengharapkan agar harga BPI itu diturunkan dengan kadar lebih besar, antara RM8 sehingga RM10, yang dilihat benar-benar melegakan mereka.

Seorang pengguna yang mahu dikenali sebagai Siti Norhayati, 33, berkata, dengan harga bahan mentah yang tinggi, ia membuatkannya makin resah untuk membeli barang dapur.

“Kalau nak turunkan harga, turunkan RM8 hingga RM10, barulah terasa beban itu berkurangan. Ini turun RM2, RM3, macam lebih kurang sama sahaja,” kata ibu kepada empat orang anak itu.

Muhammad Ariff Nor Suhaimi, 28, pula mencadangkan kerajaan untuk lebih memfokuskan kepada beras tempatan berbanding beras import supaya industri penghasilan beras di negara ini mampu ‘berdiri’ dengan kukuh.

Seorang pekerja sedang memunggah stok beras yang baru sampai untuk dimasukkan kedalam sebuah kedai pemborong di Pasar Borong Selangor. – Gambar Alif Omar/Scoop, 22 Mac, 2024

“Orang sekarang rasanya lebih banyak beli beras tempatan daripada import, sebab lagi murah.

“Lebih baik kalau kita tingkatkan penghasilan beras tempatan. Kalau kita fokus pada beras tempatan, dah tak perlulah kita bergantung pada beras import,” katanya.

Menurut Ariff, dia dan isterinya terpaksa mengawal kadar pembelian beras.

“Sekarang kalau habis, beli 5 kilogram (kg) beras sahaja. Jadi kena kawal bila nak beli. Melainkan kalau orang itu kaya. Dia kalau beli 10kg itu boleh senang sahaja,” katanya.

Walau bagaimanapun, terdapat juga pembeli yang berasa penurunan harga beras tersebut merupakan satu langkah ke arah menurunkan kos hidup masyarakat.

Nafisah Ain, 32, berkata, walaupun harga beras ketika ini berada dalam keadaan tidak memuaskan, namun, dia bersyukur harga beras sekurang-kurangnya mempunyai perubahan yang lebih baik.

“Memang masih tak boleh nak dikatakan murah, tapi sekurang-kurangnya makin baik. Kalau kita bagi masa lagi, insya-Allah boleh turun lagi harga beras rasanya,” katanya.

Baru-baru ini kerajaan menerusi Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol) bersetuju harga jualan runcit BPI diturunkan antara RM2 hingga RM3 di pasaran.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, semua stok semasa padi dan beras yang sudah dibeli oleh pengilang berjumlah 140,000 tan metrik pula dapat diproses dan dikeluarkan untuk kegunaan pasaran tempatan dengan serta-merta.

Katanya, keputusan berkaitan pelarasan harga BPI serta beras putih tempatan (BPT) itu dimuktamadkan melalui mesyuarat Naccol. – 22 Mac, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Tennis star Kyrgios enjoys Raya with family in Malaysia

Born Nick Hilmy Kyrgios, he boasts Malaysian heritage through his mother, Norlaila – affectionately known as Nil. 

Related