KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun, Nurul Aina Najwa Abdul Fattah yang dilaporkan hilang dari rumahnya di kuarters Hospital Temenggung Seri Maharaja Kulai sejak 5 Mac lepas.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tan Seng Lee berkata, Nurul Aina kali terakhir dilihat bapa dan ibu tirinya yang berusia 30-an di rumah mereka sekitar 12.30 tengah malam, sebelum disedari hilang pada jam 6 pagi dan laporan polis dibuat pada jam 7 malam hari sama.
Menurutnya, remaja bertubuh badan berisi, berkulit putih dan memakai cermin mata itu adalah pelajar di sebuah madrasah di Saleng di sini, manakala bapanya bekerja sebagai pemandu ambulans dan ibu tiri merupakan guru tuisyen.
Bagaimanapun, katanya, pasangan suami isteri itu tidak pasti pakaian terakhir dipakai remaja berkenaan.
“Setakat ini, polis sudah merakam percakapan ibu tiri remaja terbabit untuk membantu siasatan.
“Berdasarkan maklumat yang diterima, remaja terbabit mempunyai isu enggan pergi ke sekolah disebabkan persekolahan yang baru bermula,” katanya.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Balai Polis Kulai di talian 07-6632222 atau Pegawai Penyiasat Inspektor Teo Feng Shun 018-3774339. – 17 Mac, 2024