KUALA LUMPUR – Sistem ‘groundwater source’ yang menggunakan sumber bekalan air bawah tanah boleh menjadi kaedah alternatif jika cuaca panas berterusan hingga menjejaskan bekalan makanan negara.
Bercakap kepada Scoop, Pensyarah Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Mohd Rafii Yusop berkata, kaedah itu mungkin dilihat sebagai langkah terakhir yang boleh dilakukan jika cuaca panas benar-benar kritikal.
“Kalau keadaan cuaca panas masih berpanjangan, ia akan menyebabkan bekalan air terganggu dan kita tahu industri ini sangat memerlukan air untuk kelangsungannya.
“Kaedah alternatif yang boleh dilakukan ialah ‘groundwater source’ di mana kita pam air dalam tanah sebab dalam lapisan tanah ini ada air, jadi ia sebagai sumber bekalan simpanan.
“Kaedah ini ada sesetengah negara dah amalkan seperti di Amerika Syarikat namun negara kita masih belum sampai ke tahap ini sebab ia berisiko untuk merosakkan struktur tanah yang telah digali,” katanya.
Pada Sabtu Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan kawasan Pokok Sena di Kedah merekodkan suhu panas tahap dua atau gelombang haba setakat 4.30 petang.
Tahap gelombang haba merujuk kepada suhu maksimum harian 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
Rafii bagaimanapun berkata, perubahan cuaca sehingga kini masih belum memberikan kesan kepada industri pertanian dan penternakan negara.
“Cuaca panas selama satu atau dua minggu tidak memberi kesan kepada sektor pertanian. Macam sekarang, cuaca tidak menentu, ada hari ia panas terik dan ada hari hujan lebat.
“Jadi cuaca sekarang tidak memberikan sebarang tekanan kepada sumber bekalan makanan dan dijamin mencukupi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Sains Haiwan dan Fakulti Pertanian UPM, Prof. Loh Teck Chwen mencadangkan sistem ‘closed house system’ bagi mengawal suhu persekitaran dan penggunaan air untuk binatang ternakan.
Jelasnya, ia dilengkapi sistem kawalan suhu dan kelembapan dengan binatang ternakan diletakkan di dalam kandang tertutup dan tidak dibiarkan berkeliaran.
“Dengan sistem ini, kita dapat memastikan ternakan seperti ayam, lembu dan kambing tidak berkeliaran sekali gus dapat memastikan suhu badan ia berada dalam keadaan baik.
“Penternak pula boleh mengawal pemakanan dan sumber air agar ia tidak terjejas disebabkan cuaca panas,’’ katanya. – 17 Mac, 2024