Walaupun ada laporan harga ayam naik 30 sen tapi masih tak lepasi harga siling: Mat Sabu

Datuk Seri Mohamad Sabu memberi jaminan bahawa pemantauan harga akan diteruskan bagi memastikan tiada kenaikan harga ayam secara mendadak

1:27 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Meskipun terdapat laporan kenaikan harga ayam sebanyak 30 sen di pasaran, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan situasi masih terkawal kerana ia tidak melepasi harga siling RM11.40 yang pernah ditetapkan sebelum ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, jika ada pihak menjual bekalan mentah itu pada harga mahal, tindakan berkenaan di luar dasar ditetapkan kementeriannya.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa pemantauan harga akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada kenaikan harga ayam secara mendadak.

“Libat urus sentiasa diadakan dan pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) memantau (harga). Dalam laporan bulanan yang saya sebutkan tadi, harga ayam stabil berbanding harga kita letak dulu iaitu harga siling RM11.40.

“Setakat ini belum lagi mencecah ke arah itu (harga siling) semuanya dibawah. Tapi Mydin (pasar raya) masih dijual bawah RM9. Kadang-kadang RM7.90, kadang-kadang RM8. Secara umumnya kalau ada dipoket tertentu mahal itu bukan dasar umum, kita akan pantau dan buat laporan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) yang memintanya menjelaskan mengenai laporan harga ayam naik 30 sen sebanyak tiga kali seperti dilaporkan dalam sebuah akhbar semalam yang jelas berbeza dengan kenyataan kementerian bahawa harga ayam agak stabil.

Sebelum itu, beliau menjawab Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) yang ingin mengetahui sama ada harga ayam naik mendadak atau menghadapi kekurangan bekalan di pasaran selepas pemansuhan subsidi dan kawalan harga.

Pada 30 Oktober lalu, Mohamad berkata, kerajaan bersetuju menamatkan sepenuhnya pemberian subsidi dan harga kawalan bagi ayam bermula 1 November 2023 untuk mengurangkan ketirisan subsidi yang ketika ini turut dinikmati warga asing dan berpendapatan tinggi.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, harga ayam di pasaran ketika ini adalah stabil berdasarkan pemantauan harga dilakukan DVS secara bulanan.

Menurutnya, bekalan ayam yang stabil ketika ini turut menjadi faktor yang menyumbang kepada kestabilan harga ayam semasa.

“Secara perbandingan, harga ayam pada bulan lalu adalah RM6.03 sekilogram manakala RM6.13 sekilogram bagi Januari 2024.

“Pada November 2023, purata harga bahan mentah itu adalah RM5.85 sekilogram tetapi meningkat sedikit kepada RM6.39 sekilogram pada Disember 2023,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan akan meneruskan subsidi bagi telur gred A, B dan C akan teruskan menggunakan mekanisme sedia ada.

Katanya, sebarang perubahan dasar akan mengambil kira semua faktor khususnya trend bekalan semasa.

“Kerajaan juga akan sentiasa memantau pengeluaran di peringkat ladang bagi memastikan bekalan telur mencukupi, khususnya ketika musim perayaan.

“Malah, kerajaan juga akan terus bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan bekalan telur di ladang berada dalam keadaan stabil dan tidak membebankan rakyat,” katanya. – 14 Mac, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

[UPDATED] Petronas confirms ongoing productivity reviews to ‘eliminate inefficiencies’

Responding to Scoop, industry giant said it aims to become ‘operationally focused, commercially agile and cost-efficient’, but did not clarify if it is linked to Petros deal

Related