KUALA LUMPUR – Pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung peruntukan hak kewarganegaraan kanak-kanak akan mengurangkan masalah hutang bil hospital.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ini kerana bil hospital tinggi yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan adalah akibat kes warga asing melahirkan anak mereka di hospital kerajaan.
“Berlaku di mana warga asing, bersama pasangannya juga, (apabila berlaku) kelahiran bayi di hospital, mereka ‘walk out’ begitu sahaja, dan bil hospital tak bayar.
“Hospital bil yang tak dibayar dalam ratusan juta, sebab itu ditinggalkan begitu sahaja, sebab dia pun tahu di bawah Seksyen 19(b) anak lahir di sini, dia kata boleh dapat terus (kewarganegaraan),” katanya pada sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Saifuddin juga menegaskan bahawa bilangan warga asing yang meningkat akan mengubah landskap dari segi komposisi di Malaysia.
“Tahun 1963 dulu tak berlaku, sekarang dengan 3.5 juta warga asing dia mengubah landskap dari segi komposisi dalam negara kita, sebab itu pindaan hari ini adalah persiapan hari muka,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau mendedahkan bilangan kes kewarganegaraan kanak-kanak yang terkini.
“Ada 140,000 permohonan, yang belum membuat keputusan adalah 49,000. Daripada 49,000 itu, ‘foundling baby’, ‘adopted children’ and ‘children born out of wedlock’, ini jumlahnya 14,000.
“Yang itu kita akan selesaikan berdasarkan kepada pindaan dan peraturan yang sekarang ini akan kita bentangkan sebagai panduan kepada pemohon,” katanya.
Pada 8 Mac lalu, Kabinet meluluskan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan hak kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warga Malaysia yang berkahwin dengan warga asing.
Saifuddin berkata, susulan keputusan mesyuarat dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, sesi penerangan akan diteruskan sebelum ia dibentangkan di Parlimen.
Antara pindaan perlembagaan yang dicadangkan termasuk menurunkan usia maksimum memohon kewarganegaraan daripada 21 tahun kepada 18 tahun. – 11 Mac, 2024