Bekas ahli majlis PJ, Derek Fernandez suntik semangat 800 pelajar, sumbang bantuan beg sekolah

Sumbangan itu usaha untuk meringankan beban ibu bapa menyediakan keperluan sekolah anak-anak

3:38 PM MYT

 

PETALING JAYA – Bagi menyuntik semangat pelajar, khususnya menjelang sesi akademik baharu persekolahan, bekas ahli majlis, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Derek Fernandez menyempurnakan agihan bantuan beg sekolah, satu tradisi yang diusahakannya sejak bertahun-tahun ini.

Walaupun menamatkan penggal sebagai ahli majlis tahun ini, beliau tidak melepaskan peluang mengagihkan bantuan berkenaan kepada 800 pelajar terpilih supaya mereka berasa selesa untuk ke sekolah.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penyalahgunaan Dalam Talian dan Keselamatan Maklumat, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, ketika ini ibu bapa terpaksa mengeluarkan belanja besar untuk keperluan sekolah anak-anak termasuk pakaian dan makanan.

Walaupun sumbangan berupa beg sekolah itu dianggap tidak penting bagi sesetengah pihak, katanya, ia pastinya akan memberikan manfaat yang ketara kepada setiap ibu bapa.

“Ibu bapa perlu memikirkan banyak perkara, jadi jika semua orang (menyumbang) sedikit, ia akan membantu mereka.

“Kami cuba sedaya upaya (membantu rakyat). Mereka cukup gembira (dengan beg itu). Beberapa maklum balas yang kami terima mengatakan ia beg terbaik,” katanya selepas program ‘Kongsi Rezeki’ di Bukit Gasing hari ini.

Sebahagian daripada 800 kanak-kanak yang teruja menerima beg sekolah baharu dalam program ‘Kongsi Rezeki’. – Abdul Razak Latif/Scoop, 9 Mac, 2024

Beliau berkata, beg itu direka untuk menjamin ketahanan dan keselamatan kanak-kanak yang menggunakannya, kerana ia dibuat dengan pelbagai ciri dan bahan berkualiti tinggi.

Selain diperbuat daripada nilon balistik yang kukuh, beg itu juga mempunyai pemantul untuk meningkatkan keselamatan pengguna semasa berjalan dalam gelap.

Ketika ditanya mengenai kesinambungan program yang begitu dekat di hatinya itu, beliau berharap ia akan dapat diteruskan selepas ini oleh penggantinya.

Beliau juga menyatakan kesediaan untuk menghulurkan sumbangan peribadi bagi mengekalkan program itu.

Turut hadir pada program itu ialah Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, yang mengumumkan Derek akan bertindak sebagai penasihat pusat khidmat di zon yang diwakilinya sebelum ini.

Derek berharap, sumbangannya dapat membantu ibu bapa yang terpaksa mengeluarkan belanja besar untuk keperluan sekolah anak-anak termasuk membeli pakaian dan makanan. – Abdul Razak Latif/Scoop, 9 Mac, 2024

“Perkhidmatan (Derek) akan diteruskan dalam kapasiti berbeza. Saya yakin tiada siapa yang patut mensia-siakan sumbangan mereka, terutama (Derek), yang telah lama berkhidmat dalam majlis bandaraya,” kata Chean Chung dalam ucapannya.

Sementara itu, sumbangan Derek kepada penduduk di zon diwakilinya amat dihargai sejak 13 tahun lalu.

“Beliau telah banyak membantu kami dengan menyediakan sokongan untuk keperluan asas, seperti baucar untuk barangan runcit,” kata seorang penduduk yang dikenali sebagai Esah.

“Program sebegini (bantuan beg sekolah) sering dianjurkannya dan beliau secara konsisten menawarkan bantuan sama ada menjelang musim persekolahan mahupun ketika perayaan seperti Aidilfitri,” tambah seorang lagi penduduk bernama Nina. – 9 Mac, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related