KUALA LUMPUR – Pesawat kargo milik sebuah syarikat penerbangan di Indonesia dilaporkan terputus hubungan pagi tadi selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Juwata Tarakan, Kalimantan Utara (Kaltara).
Pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Tarakan pada jam 8.25 pagi (waktu tempatan) menuju ke Binuang, Krayan, Nunukan, lapor portal CNN Indonesia.
Mengikut jadual, pesawat terbabit sepatutnya mendarat di Binuang pada jam 9.25 pagi tadi.
Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Tarakan kini sedang bekerjasama dengan Airnav, pihak lapangan terbang, MAF, Lapangan Terbang, Polri (Kepolisian Republik Indonesia) dan agensi lain yang berkaitan.
Pesawat itu dinaiki seorang juruterbang, Kapt M Yusuf dan seorang jurutera, Deni S.
Pesawat itu dilaporkan membawa muatan dengan berat keseluruhan 583 kilogram (kg).
Siasatan berhubung kehilangan pesawat itu masih diteruskan.
Ketua Polis Daerah Krayan Selatan dan Tengah, Ipda Andi Irwan berkata, pesawat jenis Pilatus Pc6 itu sedang mengangkut barangan makanan asas yang mendapat subsidi kos pengangkutan (SOA).
“Berdasarkan maklumat, pesawat yang menghantar barang keperluan asas dari Tarakan berlepas pada jam 8.25 pagi dan sepatutnya tiba di Binuang pada jam 9.25 pagi. Sehingga kini, pesawat itu tidak kelihatan,” kata Andi.
Sementara itu, dalam perkembagan terbaharu, Andi memaklumkan dia menerima maklumat daripada penduduk sekitar lokasi kejadian bahawa mereka terdengar bunyi dentuman kuat di tebing gunung itu wilayah Krayan Tengah, kira-kira jam 10.00 pagi (waktu tempatan).
“Penduduk yang sedang bertani di sekitar tempat kejadian terdengar bunyi dentuman di tebing gunung,” katanya.
Susulan itu, Andi berkata, sepasukan polis dari Krayan Selatan sedang digerakkan ke lokasi kejadian. – 8 Mac, 2024