KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut dalam insiden tanah runtuh di kawasan perlombongan Lion Mining di Jalan Sungai Kelambu dekat Banting, Selangor, hari ini.
Komader Operasi, PBK 1 Zaharul Ezzad Abdul Latiff berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada jam 12.34 tengah hari tadi.
Menurutnya, lima anggota dari Pasukan Bomba BBP Banting kemudian bergegas ke lokasi kejadian dengan menaiki jentera FRT sejurus menerima panggilan.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa berusia 38 tahun didapati tertimbus paras dada.
“Mangsa berjaya dibawa keluar anggota bomba dalam masa 15 minit dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mayat akan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. – 6 Mac 2024