KUALA LUMPUR – Sebuah bas dua tingkat milik RapidKL terbakar dalam kejadian berhampiran Wisma YPR di Jalan Syed Putra dekat sini pagi ini.
Tinjauan Scoop mendapati, kebakaran berlaku di bahagian enjin bas dan tiada penumpang berada di dalam bas berkenaan.
Dalam pada itu, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur telah menerima panggilan kecemasan pada jam 8.06 pagi seterusnya menghantar jentera ke tempat kejadian.

Menurut Komander Operasi Kanan, Suhaimi Mohd Razali, setibanya di lokasi kejadian didapati sebuah bas RapidKL telah terbakar di bahu jalan.
“Tindakan pemadaman mengunakan salur bantu mula dari jentera untuk memadam kebakaran tersebut. Kebakaran bas tersebut melibatkan 90 peratus kemusnahan dan tiada mangsa yang terlibat.
“Punca kebakaran masih dalam siasatan unit siasatan kebakaran,” katanya dalam kenyataan.
Pada 29 Januari lalu, sebuah bas RapidKL terbakar di Jalan Ampang dan kesemua penumpang serta pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.
RapidKL memaklumkan bas Laluan 303 dari Taman Mulia Jaya hingga Lebuh Ampang itu terbakar di hadapan pusat beli-belah Great Eastern kira-kira jam 10.52 pagi.
RapidKL memohon maaf kepada penumpang yang terjejas akibat kejadian itu. – 5 Mac, 2024