KUALA LUMPUR – Seramai 6,000 peminat band muzik Butterfingers, Hujan dan Bunkface hadir memeriahkan persembahan mereka di showcase Und3rground yang berlangsung di Surf Beach, Sunway Lagoon, malam tadi.
Showcase itu juga boleh dianggap mencipta sejarah tersendiri kerana ketiga-tiga band muzik Indie yang berlainan genre berkenaan buat julung kalinya disatukan di atas pentas yang sama.
Persembahan yang diadakan sempena ulang tahun Hitman Group Ke-15 anjuran anak syarikatnya, Hitman Solutions itu juga berjaya mengembalikan semula nostalgia dan kegemilangan ketiga-tiga band tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) & Pengasas Hitman Solutions, Rohit Rampal berkata, mereka memilih mengadakan showcase Und3rground bagi meraikan tahun ke-15 penubuhan Hitman Group sebagai penghargaan kepada perjalanan perniagaan yang mereka terajui dengan usaha keras diusahakan selama beberapa dekad seiring pengalaman ketiga-tiga band berkenaan.

“Ia adalah kombinasi yang bersesuaian dengan kejayaan diraih oleh pengkarya indie negara, bermula dari bawah sehingga dikenali dan disegani, di samping menyediakan platform untuk pengusaha bebas,” katanya.
Showcase yang bermula pada pukul 8 malam dan berlangsung selama tiga jam menyaksikan persembahan hebat daripada ketiga-tiga band indie berkenaan.
Ia kemudian disusuli dengan showcase persembahan selama 45 minit dari setiap band indie itu.
Butterfingers yang dikenali sebagai ‘Nirvana Malaysia’ dianggotai Loque, Emmett, Loko dan Kadax mempersembahkan karya ‘grunge’ nostalgia mereka seperti Taman Tasik Perdana, Tentang Tentang dan Garden City Of Lights nyata mengimbau kenangan masa lalu.

Sementara itu, kumpulan Hujan yang terdiri daripada Noh Salleh, AG Coco, Azham dan Izzat, begitu kental dengan gabungan muzik alternative rock dan jazz, mengubati rindu peminat mereka dengan lagu-lagu yang pernah mengangkat nama band tersebut seperti Lonely Soldier Boy, Kotak Hati dan Mencari Konklusi.

Bunkface yang muncul sekitar tahun 2005 dan sering dipengaruhi dengan muzik Sum 41 dari Kanada, menggamatkan keadaan dengan nukilan hits mereka seperti Darah Muda, Ekstravaganza, Revolusi dan juga beberapa lagu baharu. – 3 Mac, 2024