KUALA KRAI – Seorang lagi kanak-kanak yang terlibat dalam kemalangan jalan raya yang melibatkan dua kereta di Jalan Kuala Krai-Gua Musang dekat Kampung Pahi, di sini hari ini meninggal dunia di hospital, menjadikan angka korban nahas itu kepada empat orang, kata Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Kamarulzaman Harun.
Beliau berkata, Kanak-kanak lelaki berusia enam tahun itu meninggal dunia pada 3.15 petang tadi ketika mendapatkan rawatan di Zon Merah Hospital Sultan Ismail Petra, di sini.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku semasa kereta Nissan March dari Gua Musang menghala ke Kota Bharu masuk ke laluan kereta Perodua Myvi dari arah Kota Bharu menghala Gua Musang sehingga menyebabkan kedua-duanya bertembung.
“Dalam kejadian ini, tiga mangsa dalam kereta jenis Perodua Myvi maut di tempat kejadian, manakala dua lagi mangsa (dalam Perodua Myvi) menerima rawatan di Hospital Kuala Krai,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Kemudian seorang daripada dua mangsa dalam Perodua Myvi itu meninggal dunia di hospital sementara mangsa yang terselamat dirawat di Zon Kuning hospital sama.
Dua mangsa yang berada di dalam kereta jenis Nissan March iaitu pemandu yang mengalami kecederaan parah dan penumpang pula mengalami kecederaan ringan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihak polis akan menjalankan siasatan secara terperinci,” katanya.
Terdahulu, Bernama melaporkan seorang kanak-kanak perempuan antara tiga disahkan maut dalam kemalangan jalan raya kira-kira 1.38 tengah hari tadi di Jalan Kuala Krai-Gua Musang dekat Kampung Pahi, di sini dan semua mangsa telah dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra. – 2 Mac, 2024