Biar jalan panjang dan berliku, usaha perlu diambil untuk selesaikan masalah bumiputera, kata penganalisis

Membawa masuk pelaburan berprofil tinggi ke kawasan luar bandar, memperbaiki infrastruktur asas di Sabah antara yang dapat menaikkan ekonomi bumiputera

8:00 AM MYT

 

PUTRAJAYA — Segala hasil dapatan daripada Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 yang melabuhkan tirainya semalam, bukan titik akhir penyelesaian segala permasalahan bumiputera sebaliknya ia adalah langkah yang perlu dilakukan walaupun jalannya panjang, sukar serta berliku.

Menurut Pengerusi Kluster Pembangunan Desa, Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad, antara yang perlu dilakukan kerajaan ialah membawa masuk pelaburan dan industri berprofil tinggi ke kawasan luar bandar bagi membantu memperkasakan ekonomi bumiputera.

Ia amat penting untuk menarik industri berkemahiran sederhana dan tinggi dalam memartabatkan agenda bumiputera.

Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad menegaskan, amat penting untuk kerajaan membawa masuk pelaburan dan industri berprofil tinggi ke kawasan luar bandar bagi membantu memperkasakan ekonomi bumiputera. – Gambar Bernama, 3 Mac, 2024

“Saya ambil contoh mudah seperti di Korea Selatan, ada Samsung City, Hyundai Town, sama juga pembuatan (kereta) Ferrari. Saya dimaklumkan bukan di Milan (Itali) tapi beratus batu jauhnya dari Milan.

“Kenapa kita di Malaysia tidak bawa industri berat atau sederhana ini ke luar bandar? Itulah harapan agar luar bandar lebih mampan dan maju kerana 81% penduduk luar bandar adalah bumiputera,’’ katanya.

Menurut Md Alwi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) perlu memperbanyakkan program kampung angkat seperti dilaksanakan Petronas.

Sementara itu, Pengerusi Kluster Penguasaan Teknologi Baharu, Profesor Tan Sri Mazlan Othman berkata, kerajaan dicadang memperluaskan program pelesenan yang sesuai untuk meningkatkan penyertaan bumiputera dalam penggunaan dan eksplorasi secara lestari sumber asli negara.

Ini kerana, katanya, tidak seharusnya sumber biodiversiti yang dimiliki negara disimpan begitu sahaja.

Tan Sri Mazlan Othman mencadangkan kerajaan memperluaskan program pelesenan yang sesuai untuk meningkatkan penyertaan bumiputera dalam penggunaan dan eksplorasi secara lestari sumber asli negara. – Gambar Bernama, 3 Mac, 2024

“Tidak semestinya sumber asli itu kita simpan dan tidak berbuat apa-apa kerana ada cara untuk mengguna dan mengeksplorasikan secara lestari termasuk perlindungan, pemuliharaan dan penggunaan biodiversiti serta sumber asli,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Kluster Sosioekonomi Bumiputera Sabah, Profesor Madya Datuk Ramzah Dambul pula berkata, infrastruktur asas di Sabah perlu diselesaikan terlebih dahulu jika kerajaan mahu agenda ekonomi bumiputera di negeri ini diperkasakan.

“Masalah paling besar ialah infrastruktur sebab 75% penduduk bumiputera Sabah berada di luar bandar, jadi ia sangat kritikal.

“Kita bagilah banyak intervensi atau aktiviti ekonomi, umpamanya ternak ayam telur. Ia akhirnya tidak dapat dipasarkan kerana kos mengangkut telur ke pasar lebih tinggi dari harga telur itu sendiri,’’ katanya.

Datuk Ramzah Dambul berkata, infrastruktur asas di Sabah perlu diperbaiki terlebih dahulu jika kerajaan mahu memperkasakan ekonomi bumiputera di negeri tersebut. – Gambar Bernama, 3 Mac, 2024

Lebih 80 resolusi agenda pemerkasaan bumiputera digariskan sepanjang tiga hari KEB 2024 diadakan.

Resolusi itu diperoleh hasil libat urus dikelolakan menerusi 10 kluster merangkumi pelbagai aspek yang dibentangkan sepanjang tiga hari berlangsungnya kongres berkenaan.

Antara resolusi yang diangkat ialah berkaitan kluster Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) iaitu menetapkan satu badan organisasi untuk menjalankan tadbir urus institut Tahfiz TVET dan memperkukuh jalinan kerjasama program Tahfiz TVET dengan Majlis Agama Islam Negeri (Main).

Selain itu, bagi Kluster Reformasi Pendidikan dan Modal Insan, antara yang digariskan ialah mengenai pengukuhan system Pendidikan Islam, memperkukuhkan Pendidikan awal kanak-kanak serta menangani krisis Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (Stem).

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada majlis penutup kongres itu semalam berkata, kerajaan bersetuju untuk menubuhkan Suruhanjaya Pekerja Gig bagi melindungi pekerja gig yang kini sudah mencecah 1.12 juta orang terutama dalam kalangan anak muda.

Beliau juga memaklumkan kerajaan bersetuju mewujudkan Tabung Wakaf Mara Madani dengan sasaran dana berjumlah RM1 bilion dalam tempoh dua tahun. – 3 Mac, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related