KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa menteri di bawah kerajaannya akan disingkirkan serta-merta tanpa kompromi, sekiranya individu itu terbabit rasuah.
Perdana Menteri berkata, namun sehingga kini imej kerajaan pimpinannya kekal bersih dan telus tanpa membabitkan salah laku rasuah.
“Setelah setahun tiga bulan (menerajui kerajaan), beri imej pimpinan bersih daripada rasuah.
“Saya tanya beri satu bukti menteri, PM (Perdana Menteri) sekarang rasuah…kita akan siasat dan dakwa tetapi (ternyata) tidak ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Sidang Kemuncak Antirasuah Kebangsaan (NACS) 2024 di Hotel Times Square di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
Anwar berkata, beliau ingin memberi peringatan jelas bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tidak mungkin mengecualikan siasatan ke atas pimpinan sedia ada.
“Kalau ada (terbabit rasuah) jangan tanya saya, sila ambil tindakan dan wajib orang itu digugurkan!” katanya.
Terdahulu, sejak memegang jawatan Pendana Menteri pada November 2022, Anwar bertekad menghentikan amalan rasuah dan penyelewengan di negara ini.
Menurutnya, amalan itu bagaikan sudah menjadi sistemik sehingga membobrok tadbir urus kerajaan.
Beliau berkata, Malaysia kaya dengan hasil minyak dan gas, kelapa sawit serta hasil bumi, tetapi amalan rasuah berlaku.
“Saya kalau dimaki sebanyak mana pun saya tidak peduli, saya nak hentikan amalan-amalan itu…kalau saya izinkan (rasuah) sampai bila negara kita ini nak maju,” katanya. – 29 Februari, 2024