Sultan Selangor tegur kenyataan Hadi, tidak beradab

Baginda berkenan mengutus sepucuk surat kepada Abdul Hadi menerusi Pesuruhjaya PAS Selangor

1:49 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada 20 Februari lalu bertajuk ‘Ketinggian Islam wajib dipertahankan’ yang ditujukan kepada alim ulamak, peguam, hakim, ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan raja-raja Melayu.

Susulan itu, baginda berkenan mengutus sepucuk surat kepada Abdul Hadi menerusi Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Ab. Halim Tamuri.

Antara intipati surat berkenaan, baginda menyifatkan Abdul Hadi tidak membaca secara menyeluruh dan mendalam titah ucapan baginda semasa mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) pada 15 Februari 2024.

Kenyataan sinis Abdul Hadi itu secara tidak langsung mengaitkan titah ucapan baginda dengan sikap raja-raja yang perlu berwawasan kepada kehidupan akhirat dan tidak mengejar kepentingan dunia semata-mata adalah satu kenyataan yang amat tidak bersesuaian serta tidak beradab dari sudut budaya orang Melayu yang sentiasa menghormati dan memelihara adab ketika menyuarakan pandangan dan nasihat kepada raja-raja Melayu.

Menerusi surat setebal lima muka surat, ditandatangani Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Muhamad Munir Bani itu, titah ucapan Sultan Sharafuddin pada 15 Februari itu berkaitan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid yang mencabar keabsahan 16 peruntukan kesalahan jenayah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 2019.

Dalam surat itu, Muhammad Munir berkata, kenyataan Abdul Hadi juga telah mengkritik hakim-hakim yang dikatakan telah gagal mentakrifkan Perlembagaan Persekutuan mengikut prinsip Islam sebenar dan kononnya Perlembagaan Persekutuan diciptakan dan digubal oleh penjajah mengikut acuan mereka dengan tujuan untuk menghancurkan agama, bangsa, bahasa dan tanah air di suatu masa kelak.

“Semua komen-komen dan kritikan sebegini boleh menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat terutama umat Islam dan telah menimbulkan persoalan apakah tujuan sebenar kenyataan sedemikian dikeluarkan? Kenyataan beliau (Abdul Hadi) bukan sahaja mengelirukan malah boleh membawa kegelisahan yang akhirnya boleh menjurus kepada perpecahan, kepada perpaduan umat Islam khususnya di kalangan orang Melayu di negara ini.

“Sekiranya beliau lebih berhati-hati sebelum membuat sebarang kenyataan dengan meneliti dan memperhalusi titah ucapan Sultan Selangor, beliau akan dapat memahami maksud sebenar baginda di dalam mengiktiraf kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara dan menghormati keputusan Mahkamah Persekutaan sebagai mahkamah tertinggi di negara ini.

“Malah jika dilihat ucapan baginda semasa mesyuarat MKI tersebut, Sultan Selangor telah menitahkan agar satu penyelesaian dicari bagi memastikan kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menggubal undang-undang syariah dapat diperkemaskan di bawah Perlembagaan Persekutuan agar tiada lagi timbul isu pertindihan kuasa di antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri,” katanya.

Muhammad Munir berkata, dalam masa yang sama Sultan Selangor juga telah menyarankan agar pihak kerajaan meningkatkan usaha memperkasa bidang kuasa Mahkamah Syariah di negeri-negeri.

Bagi maksud mencapai hasrat tersebut katanya, baginda menitahkan supaya satu jawatankuasa khas dibentuk untuk meneliti perkara ini dan membuat pengesyoran tertentu termasuk cadangan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan sekiranya perlu, untuk dikemukakan kepada MKI dan seterusnya kepada Majlis Raja-Raja.

“Jawatankuasa ini telah pun bersidang untuk menjalankan tugas-tugas sepertimana yang dititah dan diamanahkan,” katannya.

Menurutnya, sepanjang baginda menjadi Pengerusi MKI, baginda sentiasa berikhtiar dan berusaha untuk memperkasa pengurusan pentadbiran agama Islam dan menaikkan syiar Islam di negara ini.

Oleh itu katanya, apabila Abdul Hadi menyatakan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang ciptaan penjajah yang mengetepikan kedudukan agama Islam amatlah tidak bertepatan, apatah lagi Presiden PAS itu merupakan seorang ahli Parlimen veteran dan telah beberapa kali mengangkat sumpah setia jawatan.

Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan pada 20 Februari lalu mengingatkan umat Islam, termasuk ahli Parlimen dan ADUN, bahkan raja-raja supaya berwawasan akhirat dengan bijaksana memandang ke akhirat sana, bukan kepentingan dunia di sini sahaja. – Alif Omar/Scoop, 29 Februari, 2024

“Jadi kenapa sekarang beliau mempertikai kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara sedangkan agama Islam telah ditetapkan sebagai agama Persekutuan sejak perlembagaan digubal pada 1957 lagi?

“Adakah beliau telah tidak lagi menghormati Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara? Tidakkan ini juga menggambarkan Tan Sri (Abdul Hadi) sengaja mencetuskan polemik politik demi meraih sokongan rakyat khususnya umat Islam yang berbangsa Melayu?” Soalnya.

Tambahnya, pada pengamatan Sultan Sharafuddin, Abdul Hadi juga pernah membuat beberapa kenyataan yang cenderung menyangkal titah raja-raja Melayu.

Sebagai contohnya dalam satu kenyataan pada Mac 2023, Abdul Hadi mengeluarkan kenyataan mempertikai titah Sultan Terengganu yang melarang ahli politik menyampaikan ceramah dan kuliah di masjid serta surau di Terengganu.

“Kenyataan seumpama ini menggambarkan sikap tidak beradab dan tidak menghormati raja-raja Melayu sebagai ketua agama Islam di negeri-negeri yang mana raja-raja Melayu menetapkan sesuatu dasar demi perpaduan rakyat terutama umat Islam.

“Kenyataan Abdul Hadi boleh dianggap sebagai menghina kedudukan raja-raja Melayu sebagai ketua agama Islam negeri serta pemerintah utama negeri dan negara,” tegasnya.

Abdul Hadi dalam artikel diterbitkan pada 20 Februari lalu mengingatkan ‘penganut Islam menjaga dan mempertahan akidah masing-masing, bukanlah menghina, khususnya pengamal undang-undang dan semua terlibat dengannya daripada kalangan para hakim dan peguam, termasuk ahli Parlimen dan ADUN, bahkan raja-raja supaya berwawasan akhirat dengan bijaksana memandang ke akhirat sana, bukan memandang kepentingan dunia di sini sahaja’.

Beliau berkata, Perlembagaan Persekutuan digubal penjajah menipu umat Islam dengan tujuan tidak mahu sesekali memberikan kuasa kepada Islam. – 29 Februari, 2024

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

New MM2H rules: reduced deposits and age limits for special economic zone applicants

They must only be 21 years old, deposit US$65,000 in Malaysian bank, half of which can be withdrawn under certain conditions after approval

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Related