Pengiktirafan bak kut teh sebagai makanan warisan tidak patut jadi isu, dipertikaikan

Pengiktirafan makanan berasaskan daging babi itu sebagai makanan warisan negara dikatakan telah menukar identiti Malaysia menjadi bukan lagi negara orang Melayu

9:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pengiktirafan secara rasmi bak kut teh sebagai satu daripada makanan dikategorikan Warisan Negara baru-baru ini, tidak seharusnya dijadikan isu, memandangkan Malaysia terdiri daripada penduduk berbilang bangsa dan kaum.

Bercakap kepada Scoop, Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Madya Azmi Hassan berkata, justeru pertikaian dibuat bekas Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Aminuddin Yahaya mengenai pencapaian diperoleh makanan masyarakat Cina itu tidak sepatutnya dilontarkan.

Malah, katanya, beliau tidak bersetuju dengan pandangan Aminuddin kerana ia sama sekali bukan menggambarkan identiti negara secara keseluruhan.

“Saya tidak bersetuju dengan kenyataan beliau yang mengaitkan makanan warisan tersebut menjadikan negara ini bukan negara Melayu lagi (kerana tiada hubung kait antara makanan dengan isu pemilikan negara milik siapa),” katanya.

Beliau berkata, secara peribadi, hal itu tidak ada kena-mengena sama ada negara ini milik orang Melayu atau sebaliknya, memandangkan ia secara umumnya dimiliki masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan bangsa.

Profesor Madya Azmi Hassan berkata beliau tidak bersetuju dengan bekas Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Aminuddin Yahaya yang berpendapat bahawa menjadikan bak kut teh sebagai warisan negara menjadikan Malaysia bukan negara Melayu lagi, kerana tiada hubung kait antara makanan dengan isu pemilikan negara milik siapa – Gambar Bernama, 28 Februari, 2024

“Saya bagi contoh, mi Sarawak iaitu mi kolok yang diwartakan sebagai makanan warisan juga, takkan kita hendak menolak disebabkan mahu makanan dari Semenanjung sahaja yang layak diiktiraf.

“Jadi saya rasa kita tak perlu kaitkan (atau politikkan) dengan perkara-perkara yang saya anggap agak remeh,” katanya.

Sementara itu, Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Emeritus Datuk Teo Kok Seong mempunyai pandangan berbeza.

Menurutnya, seharusnya makanan warisan negara adalah makanan yang boleh dinikmati semua orang yang terdiri daripada berbilang bangsa di Malaysia.

Teo berkata, makanan yang dipilih untuk diiktiraf itu perlu selari dengan budaya masyarakat asal sesebuah negara agar ia tidak lari daripada identiti Malaysia.

“Pada pendapat saya, pewartaan bak kut teh itu tidak sepatutnya berlaku… seharusnya makanan yang diangkat itu adalah suatu hidangan yang popular dan boleh dinikmati semua kaum. Takkan kita (merujuk umat Islam) nak makan sesuatu yang tidak halal.

“Saya bagi contoh, kalau kita sebut roti canai, ia boleh diminati semua kaum (jadi layak kalau diwartakan makanan warisan negara).

“Kenapa kita nak mengangkat sesuatu yang tidak selari dengan sejarah negara ini,” katanya.

Profesor Emeritus Datuk Teo Kok Seong pula berpendapat pewartaan bak kut teh tidak sepatutnya berlaku. Seharusnya makanan yang diangkat itu adalah suatu hidangan yang popular dan boleh dinikmati semua kaum dan penyenaraiannya sebagai makanan warisan negara adalah bertentangan Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 – Gambar laman web UKM, 28 Februari, 2024

Selain itu, Teo berkata penyenaraian bak kut teh atau sup tulang daging babi yang menjadi hidangan ‘signature’ masyarakat Hokkien sebagai makanan warisan negara adalah bertentangan Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971.

Dasar itu, katanya, menekankan tiga prinsip sekiranya ingin mengangkat atau mewartakan sesuatu perkara itu sebagai warisan negara.

Walaupun dasar tersebut sudah digantikan dengan Dasar Kebudayaan Negara 2021, penyenaraian itu masih lagi berdasarkan kepada tiga prinsip teras yang termaktub dalam dasar berkenaan.

“Untuk sesuatu penyenaraian itu, ia perlu mengikuti tiga syarat dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971, walaupun sekarang ia telah digantikan dengan Dasar Kebudayaan Negara 2021, ia masih memakai teras sama.

“(Pertama) Yang mana ia menyenaraikan syarat pertama iaitu ia mesti berdasarkan kepada budaya rakyat asal iaitu orang Melayu. Kedua, budaya lain yang didapati sesuai juga boleh dimasukkan serta ketiga, Islam (agama rasmi) merupakan unsur terpenting.

“Jadi, kalau ikutkan syarat itu, bagaimana bak kut teh boleh diterima…sebab ia tidak wajar dengan budaya orang Melayu yang merupakan rakyat asal negara ini,” katanya.

Sebelum ini, Aminuddin berkata, pengiktirafan bak kut teh sebagai hidangan yang sinonim dengan kaum Cina, menjadikan Malaysia seolah-olah bukan lagi negara ‘orang Melayu’.

Ujarnya, makanan diibaratkan seperti bahasa yang melambangkan identiti sesuatu negara.

Aminuddin Yahaya berkata, makanan diibaratkan seperti bahasa yang melambangkan identiti sesuatu negara dan berasa tidak sesuai bak kut teh diiktiraf sebagai makanan warisan memandangkan Malaysia membawa imej negara Islam – Gambar Facebook, 28 Februari, 2024

“Jadi apabila kita iktiraf bak kut teh sebagai makanan warisan negara bermakna identiti negara sudah bertukar, bukan lagi negara orang Melayu.

“Lagi pula hidangan itu dikatakan ada daging babi. Jadi adakah sesuai dengan imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Banyak lagi kuih tradisional Melayu yang lebih layak dijadikan kuih warisan,” katanya.

Terdahulu, bak kut teh adalah antara makanan diiktiraf sebagai Objek Warisan 2024 di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645], bersama-sama nasi ambeng, mi kolok, uthappam dan burasak.

Pengisytiharan itu dibuat menerusi kuasa yang diberikan kepada Pesuruhjaya Warisan oleh subseksyen 49(1) akta berkenaan dan menjadi Warta Kerajaan Persekutuan. – 28 Februari, 2024

Topics

 

Hangat

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

Elderly, disabled face ‘roadblocks’ as public transport goes fully digital

Consumer group urges government and public transport companies to be more inclusive with digitalisation approach

Cops to call up 13 varsity students who joined Jan 25 anti-graft rally

Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia rep says this includes three from Sabah who would have to fly to KL; summoned rallygoers may meet police together on Sunday to receive notice

Related