‘Saya minta maaf, saya tarik balik’, hukuman gantung 4 hari Awang digugur

Awang tetap kekal menunggu Johari masuk semula ke kerusi Speaker untuk mendapatkan penjelasan berhubung tindakan keluar dewan dan penggantungan dikenakan terhadapnya

5:19 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim ‘bernasib baik’ apabila terlepas hukuman digantung empat hari daripada menghadiri Dewan Rakyat yang terdahulu dikenakan Speaker, Tan Sri Johari Abdul.

Hukuman itu ’digugurkan’ Johari selepas Awang memohon maaf dan menarik balik satu kenyataannya selepas Perdana Menteri diberikan slot untuk mengucapkan terima kasih pada awal sesi kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

“Kalau macam ni saya minta maaf, saya tarik balik,” kata Awang selepas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin memintanya untuk tidak terus mempertikaikan keputusan Johari dan menarik kenyataannya berhubung arahan penggantungannya selama empat hari.

“Speaker, saya ingat sebelum kita mulakan, saya ingat Pendang tarik baliklah supaya Speaker bagikan kelonggaran,” kata Hamzah.

“Tidak saya sudah kata empat hari,” tegas Johari.

“Kalau dia tarik balik boleh lah tak keluar,” kata Hamzah lagi, sebelum Awang bersuara mengatakan beliau tidak mahu keluar kerana tidak mendengar arahan itu ketika Johari mengatakannya.

“Jadi jangan argue (berdebat), jangan argue, minta maaf, tarik balik, boleh?” pinta Hamzah sebelum dipersetujui Awang.

“Okey, setuju, selesai,” kata Johari.

Terdahulu, sidang Dewan Rakyat ‘kecoh’ apabila Awang yang dikenakan arahan keluar dewan kerana digantung empat hari mulai hari ini, masih kekal berada di kerusinya ketika ucapan Ahli Parlimen Batang Sadong.

Keberadaan Awang ditegur Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Alice Lau yang memintanya keluar, seperti arahan diberikan Johari.

“Batang Sadong tunggu sekejap. YB Pendang, Tan Sri Speaker mengarahkan keluar empat hari jadi YB Pendang sila keluar dewan,” kata Alice.

Bagaimanapun, Awang enggan menuruti permintaan Alice dengan mengatakan beliau tidak tahu apa kesalahannya sehingga Johari mengeluarkan arahan itu, malah menegaskan tidak mendengar sendiri perkara terbabit.

“Terima kasih, saya nak tahu apa salah saya dan kedua saya tak tahu pun saya dihukum, lepas tu saya nak minta bagilah adil jangan buat keputusan emosi apa yang saya bercakap, saya nak tanya itu je sebab saya tak boleh mempertahankan diri tadi sebab dalam handset (telefon) pun tak ada tiba-tiba kata saya dihukum.

“Saya pun dapat tahu dari luar sahaja, tadi saya tengah berjalan keluar saya dapat tahu ‘kamu dihukum’, saya kata tak dengar pun jadi saya nak tahu lah apa salah saya dan bagitahu, sudahkah dia semak handset sebab saya tengok tadi masa saya nak keluar, muka Speaker sangat emosi, jadi kalau dia sendiri pun tengok gambar dia pada ketika itu, dia pun malu.

“Hukuman dibuat tanpa ada disemak telefon dan sebagainya, tiba-tiba dibuat hukuman, bukan saya tak mahu terima, saya akan keluar, kalau betul ada, saya (perlu) diberi penjelasan, panggil Speaker mai (mari) bagi penjelasan sekarang,” katanya.

Awang tetap kekal menunggu Johari masuk semula ke kerusi Speaker untuk mendapatkan penjelasan berhubung tindakan keluar dewan dan penggantungan dikenakan terhadapnya.

“Di antara pemimpin pembangkang yang paling saya hormat adalah Pendang, kawan saya, pegawai saya dulu, tetapi apabila saya sebut sesuatu perkara, saya suruh Pendang tarik balik, (Pendang kata) oh saya tak akan tarik balik, awak kawan saya atau tidak, awak tak peduli apa awak cakap, sebab tu orang kata kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.

“Anggap lah saya kawan, tetapi bila saya chair (pengerusikan) ni, awak kena hormat sedikit bahawa itu kawan aku tapi dia Speaker, kalau tak hancur dewan ini kalau saya tak buat begitu, jadi kalau saya kata tarik balik.

“Apa sangat (jika kata) ‘Speaker saya akan tarik balik’, ini oh saya tak akan tarik balik, awak tak boleh lakukan itu kepada Speaker, mana-mana orang pun tak akan terima, sebab itu saya bagi empat hari, Agong kata 14 hari saya kata empat hari…” kata Johari ketika menjelaskan isu terbabit. – 27 Februari, 2024

Topics

 

Hangat

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

Elderly, disabled face ‘roadblocks’ as public transport goes fully digital

Consumer group urges government and public transport companies to be more inclusive with digitalisation approach

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Related