KUALA LUMPUR – Lima lelaki yang ditahan kerana disyaki membelasah seorang pemandu kereta sehingga mati dalam kejadian di Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang, dekat sini, 20 Februari lalu akan didakwa di mahkamah esok.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Hassan mengesahkan kesemua suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi.
Bagaimanapun beliau tidak memperincikan pertuduhan dihadapi kelima-lima suspek.
“Kesemua suspek akan didakwa di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi esok,” katanya ringkas.
Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan dua lagi individu yang terlibat dalam kejadian tersebut ditahan pada Selasa lalu, menjadikan seramai tujuh individu direman bagi membantu siasatan kes itu.
Rabu lalu, media melaporkan mangsa berusia 42 tahun itu diikat tangannya sebelum ditarik keluar daripada kereta oleh orang awam selepas terlibat kemalangan dan dipukul hingga maut.
Kejadian dipercayai berlaku selepas lelaki berkenaan yang memandu Proton Saga kelabu terbabit kemalangan dengan penghantar makanan dan beberapa kenderaan lain.
Sejurus kemalangan itu, mangsa dikatakan telah dikejar orang awam hingga ke Taman Pelangi Semenyih 2, sebelum keretanya terbabas dan melanggar pagar kawasan perumahan. – 26 Februari, 2024