KUALA LUMPUR – Masa itu emas! Kesempatan untuk jalan-jalan dan makan angin di Jakarta digunakan sepenuhnya penyanyi yang juga komposer Ernie Zakri untuk mempromosikan karya lagunya, Masing Masing di negara seberang itu.
Masing Masing yang merupakan kolaborasi Ernie dengan Ade daripada kumpulan Govinda, dimuatkan di dalam album terbaharunya, Aura yang baru sahaja dilancarkan awal tahun ini.
Ernie memulakan lawatan promosi di Jakarta pada 15 Januari 2024 dengan agenda cukup padat apabila muncul dengan pelbagai wawancara media.
Antaranya bersama KinariWarta Kota Podcast dan iradio Jakarta sebelum membuat penampilan yang mengasyikkan di Sea Today Morning Show dan Pro 2 Jakarta.
Keesokan harinya, Ernie mengadakan pertemuan menarik di In Today Media dan JakFM, sebelum Ernie dan Ade mengakhirinya dengan sesi promosi tertutup lagu Masing Masing di Anjungan Sarinah Jakarta yang ikonik yang meninggalkan kesan abadi kepada penggemar dan media.
“Saya sangat gembira dengan rangka promosi di Jakarta. Malah saya tidak sangka penerimaan pihak media di sana begitu baik terhadap saya. Mereka memberikan kerjasama yang baik.
“Walaupun penat mengejar masa, saya gembira dengan apa yang telah dirancang oleh pihak syarikat rakaman Universal Music Malaysia dan MyMusic Records,” jelas Ernie.
Ernie yang sebelum ini memukau penonton dengan hit ‘Hal Hebat’ yang merupakan kerjasama dengan Govinda, mempunyai harapan tinggi untuk lagu Masing Masing di Indonesia.
“Semestinya saya hendak yang terbaik untuk lagu ini. Saya berharap lagu ini akan diterima oleh pendengar muzik Indonesia kerana harapan saya pada lagu dan album ini sangat besar.
“Namun, cita-cita harus terletak pada rezeki dan usaha saya. Semoga saya akan menerima khabar yang baik-baik sahaja dari Indonesia,” ulas Ernie yang merancang album seterusnya selepas pulang dari Jakarta.
Lagu Masing Masing membawa tema putus cinta dengan pengubahannya yang terhasil dari kerjasama Ade Govinda dan Nabila V.
Kisahnya menyentuh hati, menceritakan mengenai pasangan yang terpaksa berpisah demi mencari kebahagiaan masing-masing.
Lagu ini telah mendapat tempat di hati pendengar Malaysia dan muncul di tangga ke-8 Carta ERA 40, manakala muzik videonya merain sebanyak 1.9 juta penonton dalam masa dua bulan. – 24 Februari, 2023