Saifuddin bentang cadangan pindaan Perlembagaan isu kewarganegaraan kepada Kabinet 8 Mac ini

Kerajaan kemudian akan membuat keputusan mengenainya sebelum rang undang-undang itu dibentangkan di Dewan Rakyat

5:09 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Cadangan pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan berhubung isu kewarganegaraan akan dibentangkan kepada Kabinet pada 8 Mac ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan kemudiannya akan membuat keputusan sama ada meneruskan atau mengkaji semula cadangan tersebut, sebelum rang undang-undang (RUU) itu dibentangkan di Dewan Rakyat.

“Saya akan bentang kepada Jemaah Menteri pada 8 Mac ini. Jadi kalau semua diterima, maka pembentangan akan ikut jadual.

“Jika ada pindaan dan sebagainya, maknanya kita akan go according to the plan (ikut rancangan).

“Kita harap sempat bentang (di Dewan Rakyat), tapi itu bergantung (keputusan Kabinet) apabila saya bentangkan kertas pada 8 Mac nanti,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, pindaan tersebut turut mengambil kira pandangan dan cadangan daripada pelbagai pihak.

“Dalam pembikinan pindaan, sesi libat urus membabitkan semua tokoh, individu, termasuk pakar perlembagaan, Suhakam (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia), aktivis sosial… aktivis muda, mereka datang ke pejabat saya untuk berbincang.

“Kita juga dapat maklum balas daripada kerajaan Sabah dan Sarawak. Begitu juga Ahli-Ahli Parlimen dan individu-individu yang menulis kepada saya. Semua sekali, kita dengar pandangan mereka, kemudian kita ambil kira,” katanya.

Pada Disember tahun lalu, Jabatan Peguam Negara merangka draf cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan, berkaitan hak kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara hasil perkahwinan wanita rakyat tempatan dengan lelaki warga asing. – Azim Rahman/Scoop, 21 Februari, 2024

Pada Disember tahun lalu, Saifuddin memaklumkan Jabatan Peguam Negara sedang merangka draf cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan, berkaitan hak kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara hasil perkahwinan wanita rakyat tempatan dengan lelaki warga asing.

Katanya, draf itu dibuat bagi meminda Perkara 14(1)(b) untuk memasukkan perkataan ibu dengan tujuan membolehkan kewarganegaraan anak diperoleh secara kuat kuasa undang-undang.

“Pada asalnya (pindaan) adalah untuk memasukkan satu perkataan iaitu ibu, namun atas nasihat Majlis Raja-Raja bahawa harus ada elemen kawalan kerana apabila kita menerima seseorang anak itu menjadi warganegara melalui pindaan ini, anak itu juga ialah warganegara mengikut kewarganegaraan bapa dan ibunya, bagaimanapun Perlembagaan tidak mengiktiraf dua kewarganegaraan.

“Jadi, apa kita buat adalah dengan meminda fasal berkaitan, termasuk memasukkan satu lagi pindaan yang juga sedang dibuat Jabatan Peguam Negara dengan mencadangkan pada umur 18 tahun, anak itu boleh memilih satu kewarganegaraan.

“Kenapa 18? Untuk kita konsistenkan dengan Akta Kanak-Kanak 2001 dan Akta Umur Dewasa 1971,” katanya.

Pada 14 Disember 2022, Persatuan Sokongan Keluarga dan Kebajikan Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) serta enam wanita, memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk meneruskan rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh warganegara Malaysia yang berkahwin dengan lelaki warga asing, tidak berhak mendapat kerakyatan.

Pada 5 Ogos tahun sama, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 memutuskan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing, tidak berhak mendapat kerakyatan Malaysia dari segi undang-undang.

Pada 9 September 2021, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu dan bapa warganegara Malaysia, secara automatik berhak mendapat kerakyatan Malaysia. – 21 Februari, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Of Chinese gangs, a M’sian ex-deputy minister, and Burmese rebels: KL event ensnared in Myanmar scam centre?

Human rights group reveals event at JW Marriott for controversial Dongmei Zone, which allegedly sourced billions of ringgit in investments from prominent individuals, and reported by Chinese human trafficking victim to be rife with crime, drugs, brothels

Related