KUALA LUMPUR – Dua lelaki masing-masing pengurus institut pusat Latihan serta pemilik syarikat latihan keselamatan dan pertahanan, direman empat hari kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM270,000.
Perintah reman bermula hari ini hingga Sabtu itu, dikeluarkan Majistret Aina Azahra Tun Ariffin selepas pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), membuat permohonan terbabit di Mahkamah Majistret Jenayah di sini, pagi tadi.
Sumber memberitahu, kedua-dua suspek lelaki terbabit ditahan antara jam 10 malam hingga 10.30 malam semalam, melalui satu operasi dijalankan di sekitar Kuala Lumpur.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek melakukan kesalahan tersebut dari April hingga September 2023 kerana mengemukakan tuntutan palsu kepada Jabatan Pembangunan Kemahiran.
“(Ia) bagi melaksanakan latihan penyeliaan perkhidmatan sekuriti sedangkan peserta latihan tidak hadir sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terbabit.
Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – 21 Februari, 2024