KUALA LUMPUR — Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof merakamkan ucapan takziah di atas pemergian bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud.
Menerusi catatan di Facebooknya, Zahid menyifatkan kematian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada rakyat Malaysia khususnya rakyat Negeri Sarawak kerana beliau memainkan peranan yang cukup penting dalam mentadbir dan memacu kejayaan Negeri Sarawak sehingga kini.
“Terlalu banyak kenangan saya bersama Allahyarham. Beliau merupakan seorang yang mudah didekati dan sentiasa istiqamah menyantuni masyarakat. Semoga Allah SWT menerima segala amal baktinya dan menempatkan Allahyarham di dalam kalangan insan soleh serta beroleh jannah-Nya,’’ katanya.
Sementara, Fadillah, yang dilihat berada di hospital pada 8.05 pagi ini turut berkongsi kesedihan menerusi Facebook.
“Sedih dan dukacita di atas perginya negarawan, Ayahanda Tun Pehin Sri Hj Abdul Taib Mahmud, bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan bekas Ketua Menteri Sarawak, awal pagi ini di sebuah hospital di Kuala Lumpur.
“Pemergian Almarhum adalah satu kehilangan besar bukan sahaja buat Sarawak, malah juga negara. Almarhum juga pernah berkhidmat sebagai menteri di peringkat Persekutuan sebelum kembali ke Sarawak. Ya Allah, Ya Tuhanku…ampunilah dia,” katanya. – 21 Februari, 2024