KUALA LUMPUR — Kerajaan negeri Sarawak mengisytiharkan tempoh berkabung selama dua hari pada 21 dan 22 Februari sebagai menghormati pemergian bekas Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud.
Menurut kenyataan rasmi Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Abu Bakar Marzuki, semua majlis rasmi yang melibatkan acara-acara hiburan hendaklah ditangguhkan.
“Kerajaan Sarawak mengisytiharkan tempoh berkabung di seluruh Sarawak bermula pada hari ini serta esok dan bendera hendaklah dinaikkan separuh tiang di seluruh Sarawak.
“Sebarang acara yg melibatkan hiburan hendaklah ditangguhkan. Masjid dan Rumah Ibadah adalah digalakkan mengadakan Majlis Doa bagi memperingati pemergian Almarhum,” katanya.
Taib Mahmud, 87, meninggal dunia awal pagi ini. Perkara itu dikongsikan di Facebook anak Allahyarham, Datuk Hanifah Hajar Taib.
Selain itu, Kerajaan Sarawak merakamkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham dan mendoakan semoga roh arwah dicucuri rahmat.
Dalam pada itu, kenyataan rasmi kerajaan negeri Sarawak memaklumkan jenazah dijangka tiba di Pengkalan Udara TUDM Kuching petang ini dari Kuala Lumpur dan akan terus dibawa ke rumah Allahyarham di Demak Jaya, Jalan Bako.
“Jenazah akan dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Khamis untuk memberi peluang kepada rakyat jelata memberi penghormatan terakhir mulai jam 8 hingga 12 tengahari.
“Selepas itu jenazah akan dibawa ke Masjid Demak untuk disolatkan sebelum dikebumikan dengan Istiadat Pengkebumian Negeri di tanah perkuburan keluarga di Demak Jaya,” katanya.
Taib, yang dilahirkan pada 21 Mei 1936, dilantik secara rasmi sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang ketujuh menggantikan Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng pada 1 Mac 2014.
Pada 29 Januari lalu, Allahyarham digantikan dengan Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertua Negeri baharu.
Pada 10 Februari lalu, Taib dilaporkan telah mendapat rawatan susulan di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.
Sementara itu, Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal menyifatkan kematian Allahyarham Taib sebagai satu kehilangan besar kepada Sarawak dan negara.
Taib yang dikenali sebagai ‘Bapa Pembangunan Moden’, katanya, telah memberikan sumbangan besar yang tidak berbelah bahagi kepada rakyat Sarawak dan akan selama-lamanya dikenang.
“Merakamkan ucapan takziah kepada keluarga beliau, rakan-rakan seperjuangan dan semua yang tersentuh dengan legasi luar biasa beliau,’’ katanya. – 21 Februari, 2024