Tun Abdul Taib Mahmud meninggal dunia

Allahyarham dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada jam 4.40 pagi ini.

7:16 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud, 87, meninggal dunia awal pagi ini.

Perkara itu dikongsikan di Facebook anak Allahyarham, Datuk Hanifah Hajar Taib.

“Kembalinya ayahanda Hanifah Hajar Taib yang dikasihi, Tun Abdul Taib kepada penciptanya kira-kira 4.40 pagi tadi.

“Pengurusan jenazah akan dilakukan di Masjid Negara, Kuala Lumpur sebelum dibawa balik ke Kuching, Sarawak,” katanya.

Kelihatan kenderaan rasmi Datuk Hanifah Hajar Taib serta Astana Sarawak di luar hospital CVS Kuala Lumpur, menunggu untuk mengiringi jenazah ke Masjid Negara – Farhana Farush/Scoop, 21 Februari, 2024

Taib, yang dilahirkan pada 21 Mei 1936, dilantik secara rasmi sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak yang ketujuh menggantikan Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng pada 1 Mac 2014.

Pada 29 Januari lalu, Allahyarham digantikan dengan Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertua Negeri.

Pada 10 Februari lalu, beliau dilaporkan telah mendapat rawatan susulan di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.

Beberapa bulan lepas, keadaaan kesihatan Taib hangat diperkatakan malah laporan polis telah dibuat ke atas isterinya, Toh Puan Raghad Kurdi Taib yang didakwa ‘melarikan’ suaminya dari Hospital Normah di Sarawak.

Raghad telah membuat laporan polis bagi menyangkal dakwaan itu.

Toh Puan Raghad Kurdi Taib (kanan) bersama Datuk Hanifah Hajar Taib (dua dari kiri) menerima keluarga dan tetamu di Masjid Negara – Abdul Razak Latif/Scoop, 21 Februari, 2024

“Pada 4 Februari lalu, satu laporan polis dibuat mendakwa Tun Taib (Taib Mahmud) ‘dilarikan’ dari Hospital Normah di Kuching. Dakwaan itu jelas palsu dan amat membimbangkan.

“Sebagai isteri dan penjaga Tun Taib, saya meletakkan kesihatan dan kesejahteraan suami saya sebagai keutamaan dan tidak akan sekali-kali mengambil tindakan tanpa maklumat untuk menjejaskannya,” katanya menerusi satu kenyataan.

Bagaimanapun semalam, Raghad berkata, Taib menerima rawatan sewajarnya selepas gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat seorang individu di hospital, dikatakan Taib, menjadi tular.

Dalam hantaran di Instagram Story, Raghad berkata gambar berkenaan bukan Taib, yang masih dirawat di hospital di sini.

Ia kemudian dijelaskan bahawa gambar yang tular itu ialah gambar Anwar menziarahi blogger Hussein Abdul Hamid, sebelum beliau meninggal dunia pada 15 Februari lalu akibat strok.

Manakala, awal pagi ini, Taib meninggal dunia susulan masalah kesihatan dihadapinya.

Jenazah allahyarham diuruskan di hospital pakar jantung, Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL) di sini, sebelum dibawa ke Masjid Negara.

Van jenazah Jakim bergerak keluar dari hospital CVSKL pada kira-kira jam 9.07 pagi dengan diiringi kenderaan polis ke Masjid Negara – Azim Rahman/Scoop, 21 Februari, 2024

Ketika tinjauan Scoop di sekitar pusat perubatan berkenaan, ia dipenuhi anggota polis dan tentera yang mengawal keadaan.

Van Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut berada di unit kecemasan CVSKL untuk urusan jenazah Taib.

Beberapa Jemaah Menteri, termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berada di hospital untuk melawat jenazah.

Van Jakim kemudian bergerak keluar dari CVSKL pada kira-kira jam 9.07 pagi dengan diiringi kenderaan polis ke Masjid Negara. – 21 Februari, 2024

Jenazah Tun Abdul Taib Mahmud dibawa masuk ke Masjid Negara – Abdul Razak Latif, 21 Februari, 2024

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

New MM2H rules: reduced deposits and age limits for special economic zone applicants

They must only be 21 years old, deposit US$65,000 in Malaysian bank, half of which can be withdrawn under certain conditions after approval

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related