Kerajaan perlu perluas gazet tanah untuk penanaman padi

Bekalan beras tempatan hanya mampu menampung 63 peratus manakala baki 37 peratus diimport dari Thailand dan Vietnam

9:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menyediakan lebih banyak keluasan tanah yang digazetkan untuk tujuan penanaman padi agar bekalan beras tempatan sentiasa mencukupi dalam pasaran serta tidak terlalu bergantung kepada beras import.

Bercakap kepada Scoop, Pensyarah Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Mohd Rafii Yusop berpendapat, banyak tanah yang dilihat bersesuaian untuk projek penanaman dan penuaian padi yang boleh diteroka secara lebih meluas terutama di Sabah dan Sarawak.

Negara hanya mengeluarkan untuk dua musim penuaian yang melibatkan keluasan tanah sawah lebih kurang 390,000 hektar. – Gambar Azim Rahman/Scoop, 20 Februari, 2024

Tegas beliau, ini sekali gus dapat meningkatkan peratusan pengeluaran beras tempatan yang kini berada pada paras 63 peratus.

“Sekarang bekalan beras tempatan hanya mampu menampung sebanyak 63 peratus manakala baki 37 peratus, negara kita bergantung kepada bekalan import dari Thailand dan Vietnam.

“Negara kita hanya keluarkan untuk dua musim penuaian yang melibatkan keluasan tanah sawah lebih kurang 390,000 hektar menjadikan jumlah keseluruhan untuk dua musim setahun dalam 680,000 hektar keluasan tanah yang boleh keluarkan hasil tuaian.

“Bagi meningkatkan peratusan bekalan itu, kerajaan perlu berusaha menyediakan tanah yang digazetkan bagi penanaman padi dan sawah. Kalau kita tengok, banyak lagi kawasan di Sabah dan Sarawak yang boleh diterokai untuk dijadikan penanaman padi, malah tanah di Rompin dan Pekan, Pahang pun dilihat sesuai untuk dimajukan sebagai sawah padi,” katanya hari ini.

Mohd Rafii berkata, antara alternatif lain yang boleh dilakukan untuk meningkatkan pengeluaran beras adalah dengan mengkaji benih tanaman, penyediaan tanah serta pengurusan selepas proses penuaian agar tiada sebarang kerosakan pada bekalan beras sedia ada.

“Antara alternatif yang boleh diusahakan ialah dengan meningkatkan produktiviti dari segi keluasan hektar. Sekarang pengeluaran bagi setiap hektar lebih kurang 4.2 tan dan kalau dapat tingkatkan kepada 6 tan, jadi kita dapat meningkatkan keperluan negara.

“Sekarang, kita ada 12 jelapang padi di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Kalau pengusaha dapat meningkatkan (kualiti) benih tanaman, mengelak banyak beras rosak akibat diganggu serangga perosak dan pengurusan selepas proses menuai dijalankan secara efektif, secara tidak langsung dapat meningkatkan produktiviti bekalan beras yang boleh dipasarkan kepada pengguna,” katanya.

Sebanyak 12 jelapang padi negara termasuk Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Terengganu Utara (KETARA) dan sebagainya.

Terdahulu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, satu Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol) yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan diadakan Jumaat ini bagi membincangkan isu kos sara hidup terutama bekalan beras.

Beliau berkata, kementeriannya selaku urusetia Naccol telah mendapat pengesahan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bahawa satu daripada perkara diangkat untuk pertimbangan adalah berkaitan bekalan beras negara. – 20 Februari, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Of Chinese gangs, a M’sian ex-deputy minister, and Burmese rebels: KL event ensnared in Myanmar scam centre?

Human rights group reveals event at JW Marriott for controversial Dongmei Zone, which allegedly sourced billions of ringgit in investments from prominent individuals, and reported by Chinese human trafficking victim to be rife with crime, drugs, brothels

Related