Tunku Mona lega pihak pempamer masih kekal tayangkan Rain Town, walaupun jumlah pawagam dan tayangan dikurangkan

Namun, jumlah kehadiran penonton semakin meningkat dan positif, namun pihak mereka tetap berdepan cabaran lain

5:46 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pengarah filem, Tunku Mona Riza mengakui lega apabila pihak pempamer tempatan akhirnya memberikan ruang kepada filem terbitan dan arahannya, Rain Town untuk terus bernafas di panggung wayang biarpun jumlah pawagam dikurangkan.

Tunku Mona sewaktu dihubungi Scoop memberitahu, sokongan itu diterima susulan daripada video pendek yang dimuatnaik di Instagram pada minggu lalu yang memohon agar mereka (pihak pempamer), menarik balik tayangan Rain Town biarpun tidak sampai seminggu ia ditayangkan di pawagam.

“Saya bersyukur dan berterima kasih dengan sokongan diberikan pihak pempamer. Biarpun tayangan di 101 pawagam dikurangkan kepada 62 pawagam untuk setakat ini tetapi setidak-tidaknya, filem saya masih lagi terus ditayangkan.

“Malah, mereka (pihak pempamer) mengekalkan pawagam-pawagam utama yang bersesuaian dengan sasaran penonton Rain Town menerusi satu atau dua tayangan sehari.

“Dan, saya juga dapat melihat bahawa ada peningkatan dari sudut jumlah penonton yang hadir menyaksikan Rain Town di pawagam. Dulu agak sepi, tapi sekarang ini penonton sudah mula ramai,” katanya.

Pun begitu, kata Tunku Mona, biarpun jumlah kehadiran penonton yang menonton Rain Town semakin meningkat dan positif, pihaknya tetap berdepan dengan cabaran lain.

“Kalau sebelum ini, Rain Town terpaksa bersaing dengan 12 filem lain sempena perayaan Tahun Baharu Cina, kita hadapi persaingan daripada filem seram Melayu.

“Persaingan dengan filem seram Melayu ini terpaksa diambil kira kerana seperti mana yang kita semua sedia maklum, penonton Melayu memang suka atau gemar dengan filem bergenre seperti ini,” jelasnya.

Biarpun berhadapan dengan semua cabaran ini, Tunku Mona berkata, dia sama sekali tidak mengalah atau berasa putus asa untuk mengarah filem seterusnya pada masa akan datang.

“Waktu saya menghasilkan Redha, kutipannya diperolehi daripada sektor perubatan dan juga mereka yang mempunyai kaitan dengan pesakit autism.

“Menerusi Rain Town ini, respon dan penerimaan yang diterima adalah lebih besar lagi dan orang yang menonton adalah dalam kalangan orang-orang biasa.

“Jika saya berpeluang untuk mengarahkan lagi filem, pasti saya akan melakukannya dengan lebih baik lagi. Saya tidak takut untuk melakukannya lagi,” katanya.

Tunku Mona Riza bersama barisan pelakon Rain Town. – Gambar Current Pictures, 16 Februari, 2024

Rain Town yang diterbitkan di bawah syarikat produksi milik Tunku Mona sendiri, iaitu Current Pictures mula ditayangkan di seluruh pawagam tanah air pada 8 Februari lalu.

Filem itu dibintangi Chew Kin Wah dan Susan Lankester, Fabian Loo, Wilson Lee dan Pauline Tan.

Ia mengisahkan mengenai seorang bapa yang terlalu mengongkong kehidupan tiga orang anaknya iaitu Isaac, Alex dan Ruby.

Akibat daripada perlakuan bapa yang terlalu mendominasi, hubungan dalam keluarga itu semakin renggang. – 16 Februari, 2023

Topics

 

Popular

Malaysia’s new social media regulatory framework: What you need to know

New rules aim to curb cybercrime and online harm, individual users not affected

EPF 2024 dividend rate in 6%-6.2% range expected: analyst

Fund had diversified investments amidst a resilient global economy and other favourable conditions last year, may face a challenging 2025 due to global political and economic uncertainties

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Related