KUALA LUMPUR – Komposer, Amy Ukays enggan memberikan lagu ciptaannya kepada usahawan kontroversi, Datuk Aliff Syukri biarpun ada permintaan.
Menurusi hantaran yang dimuat naik Amy atau nama sebenarnya Azmi Hassan, 50, di Facebook, dia mendedahkan terdapat beberapa figura yang meminta lagu raya daripadanya tahun ini antaranya Iqbal, Datuk Seri Vida dan Datuk Seri Aliff Syukri.
“Datuk Aliff Syukri ada hubungi saya minta buat lagu raya. Tapi saya menolak sebab dia lupa diri dan asal usul. Saya tak suka untuk bekerjasama dengannya.
“Maka tahun ini saya akan fokus buat lagu raya untuk Iqbal, Datuk Seri Vida, Baby Shima dan Ifa Raziah. Juga lagu raya baru untuk Ukays Reborn yang bertajuk Di Sana Raya Di Sini Raya.
“Datuk Aliff Syukri selamat tinggal buat selamanya,” tulisnya dalam hantaran tersebut.
Amy turut memuji Iqbal yang disifatkannya sebagai seorang yang merendah diri berbanding Alif.
“Iqbal seorang yang sangat merendah diri, berbeza dengan ‘penyanyi nombor satu negara’ (Aliff Syukri),” tulisnya.
Dedah Amy, antara sebab dia enggan lagi memberikan lagunya pada Aliff adalah kerana dia sering menjadi sasaran setiap kali Aliff mencipta kontroversi menerusi video muzik lagu rayanya.
“Setiap kali saya cipta lagu, pasti video muzik lagu tersebut akan menjadi sasarannya. Akhirnya saya yang terpalit dipersalahkan. Dia yang buat, tempiasnya terkena pada saya,” katanya.
Terdahulu sebelum ini Amy pernah mencipta raya buat Aliff yang berjudul Chu Ku Chuk Raya. Namun video muzik lagu berkenaan dikecam netizen kerana ALliff serta penari latarnya memakai pakaian yang ketat seperti baju renang yang dikatakan tidak sesuai untuk sambutan hari raya. – 13 Februari, 2024