Ross Ariffin terima royalti, tapi mungkin tak cukup tampung kehidupannya: Freddie Fernandez

Ramai netizen bertanya sama ada Ross Ariffin tidak mendapat bayaran royalti, memandangkan karya ciptaannya menjadi antara lagu hit era 90-an

9:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kisah kesusahan hidup dialami komposer Ross Ariffin mendapat perhatian ramai sejak Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkongsi mengenainya semalam.

Fahmi memaklumkan, selain memberikan bantuan tempat tinggal di flat Projek Perumahan Rakyat (PPR), beliau juga cuba membantu mendapatkan pekerjaan untuk Ross Ariffin di RTM.

Disebabkan itu, ramai netizen bertanya sama ada Ross Ariffin tidak mendapat bayaran royalti, memandangkan karya ciptaannya dinyanyikan penyanyi popular dan menjadi antara lagu hit era 90-an.

Bercakap kepada Scoop, Presiden Persatuan Karyawan, Datuk Freddie Fernandez berkata, Ross Ariffin ada menerima wang royalti daripada pihak Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Malaysia (MACP), namun jumlah itu tidak cukup untuk menampung kehidupannya.

“Dia (Ross) ada terima royalti daripada MACP tetapi daripada badan-badan lain dia tak dapat.

“Namun, jumlah royalti dia terima mungkin tidak cukup untuk dia menampung kehidupannya.

“Jumlah royalti diberikan bergantung kepada kekerapan lagu disiarkan. Kalau lagu tidak disiarkan, dia tak akan dapat apa-apa.

“Lagu-lagunya pula sudah lebih 30 tahun dirakamkan. Mungkin mereka (pihak penyiar) jarang main. Jadi jumlah royaltinya sudah menurun,” katanya.

Tambah Freddie, disebabkan jumlah bayaran royalti yang semakin berkurangan, ia tidak cukup untuk menampung kehidupan Ross Ariffin sehingga terpaksa menjadi gelandangan.

Ross Ariffin ketika bertemu dengan Fahmi Fadzil. Komposer itu hidup sebagai gelandangan dan berpindah-randah sejak tiga tahun lalu – Gambar Facebook Fahmi Fadzil, 13 Februari, 2024

“Dia juga mengalami masalah kesihatan selepas diserang strok membuatkan bebanan yang harus dipikul semakin bertambah.

“Karyawan sudah memberikan bantuan awal yang termampu untuk Ross. Kita sudah cuba bantu bersama kawan-kawan untuk mendapatkan tempat tinggal di Melaka dan bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Tetapi ia cukup-cukup untuk dia bertahan sahaja.

“Saya ingin berterima kasih kepada YB Fahmi Fadzil yang memberikan bantuan dan peluang kedua buat Ross, dengan menyediakan kediaman flat PPR di Kuala Lumpur dan memberikan peluang pekerjaan kepadanya agar dapat meneruskan kariernya dalam bidang muzik,” ujarnya.

Kongsi Freddie lagi, sudah ada individu yang bermurah hati ingin memberikan keyboard kepada Ross Ariffin.

“Kami dalam proses untuk menghantar keyboard tersebut ke kediaman baharunya dalam masa terdekat.

“Saya juga sudah berhubung dengan Ross dan dia mengucapkan terima kasih kepada semua yang prihatin dan memberikan sumbangan, terutamanya kepada YB Fahmi Fadzil,” katanya. – 13 Februari, 2024

Topics

 

Popular

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Related