Tunku Mona gesa penonton Melayu tonton Rain Town, mohon pihak pempamer beri masa agar filem arahannya dapat terus bernafas di pawagam

Beberapa jam lalu, Tunku Mona memuat naik video ringkas memohon sokongan padu daripada penonton Malaysia agar menonton Rain Town

6:47 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pengarah filem, Tunku Mona Riza percaya keputusan pihaknya untuk menayangkan Rain Town di seluruh pawagam tanah air pada sambutan Tahun Baharu Cina bukanlah satu kesilapan, biarpun terpaksa bersaing dengan 12 filem lain.

Namun, pada masa sama, Tunku Mona mengakui bingung apabila filem arahannya yang bergenre drama kekeluargaan dalam bahasa Kantonis kurang menjana sebarang pulangan dari sudut kutipan tiket.

“Sudah bermacam perkara yang kami lakukan terutama dari sudut pemasaran. Bahkan, kami juga dapat banyak sokongan padu daripada pihak media tempatan. Alhamdulillah, setiap hari ada sahaja artikel mengenai Rain Town yang keluar.

“Tapi, semua itu tidak mencerminkan kepada jualan tiket. Saya sendiri pun bingung dan cuba memahami keadaan yang sedang berlaku ini. Tapi, bukan filem saya sahaja yang terkesan tetapi juga filem lain termasuk Andy Lau,” katanya kepada Scoop.

Lebih menyedihkan, kata Tunku Mona, apabila pihak pempamer memaklumkan bahawa mereka mahu menarik balik tayangan Rain Town biarpun tidak sampai seminggu ia dtayangkan di pawagam.

“Saya tidak punya pilihan lain, melainkan mengharapkan sokongan daripada rakyat Malaysia untuk membeli tiket dan menonton Rain Town. Setidak-tidaknya, dapatlah juga Rain Town bertahan dalam tempoh seminggu lagi. Buat masa ini, memang saya perlukan sokongan daripada mereka khususnya peminat filem.

“Bahkan, saya sebetulnya perlukan sokongan daripada penonton Melayu juga. Sebab, apa yang saya tahu penonton Melayu yang ‘hardcore’ belum dapat ‘tangkap’ lagi filem ini. Saya juga tidak tahu kenapa, sedangkan promosi di media sosial dilakukan dengan begitu meluas sekali.

“Ada orang cakap Rain Town hanya sesuai untuk Melayu urban. Tapi, saya tidak setuju dengan pandangan tersebut. Bagi saya, kalau seseorang itu duduk di Sungai Petani, Kulim atau Kuantan, mereka pasti boleh kaitkan diri mereka dengan cerita di dalam filem ini.

“Apa yang saya boleh katakan, filem ini sangat senang untuk difahami walaupun ia dalam bahasa Kantonis. Seperkara lagi, ia sebuah filem drama kekeluargaan yang turut berlaku di mana-mana termasuk dalam kalangan bangsa lain di negara ini,” katanya.

Sehubungan itu, Tunku Mona berharap pihak pemamer akan memberi sedikit waktu lagi untuk mereka bernafas agar dapat membuat kutipan tiket Rain Town.

“Sejak pihak kami memaklumkan kutipan tiket agak perlahan sehingga pihak stesen televisyen turut memanggil untuk mewawancara saya mengenai hal ini, ada yang fikir saya sengaja melakukan gimik. Untuk apa saya lakukan gimik sedangkan apa yang berlaku ini adalah perkara benar.

“Saya sebenarnya agak penat dan tidak tahu hendak buat macam mana lagi. Tapi, bukan mengalah atau menyerah. Sebaliknya, saya dan pasukan saya cuba untuk bertahan dengan perasaan yang positif. Apapun, saya percaya, Rain Town mampu terjemahkan dari sudut kutipan tiket,” katanya lagi.

Beberapa jam lalu, Tunku Mona memuat naik sebuah video ringkas memohon sokongan padu daripada rakyat Malaysia agar menonton filem yang sudahpun ditayangkan di beberapa festival filem antarabangsa itu.

Rain Town yang diterbitkan di bawah syarikat produksi milik Tunku Mona sendiri iaitu Current Pictures mula ditayangkan di seluruh pawagam tanah air pada 8 Februari lalu.

Filem itu dibintangi Chew Kin Wah dan Susan Lankester, Fabian Loo, Wilson Lee dan Pauline Tan.

Ia mengisahkan mengenai seorang bapa yang terlalu mengongkong kehidupan tiga orang anaknya iaitu Isaac, Alex, dan Ruby.

Akibat daripada perlakuan bapa yang terlalu mendominasi, hubungan dalam keluarga itu semakin renggang. – 12 Februari, 2024

Topics

 

Popular

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

Elderly, disabled face ‘roadblocks’ as public transport goes fully digital

Consumer group urges government and public transport companies to be more inclusive with digitalisation approach

Cops to call up 13 varsity students who joined Jan 25 anti-graft rally

Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia rep says this includes three from Sabah who would have to fly to KL; summoned rallygoers may meet police together on Sunday to receive notice

Related