KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid Ibrahim mengkritik Umno kerana reaksi pemimpin parti itu terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan dalam petisyen mencabar isu Perlembagaan untuk membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 2019.
Zaid yang juga bekas Ahli Parlimen Umno menegaskan, adalah ‘kegilaan’ bagi penyokong Barisan Nasional (BN) kononnya meminta pindaan Perlembagaan untuk memperkasakan undang-undang syariah, merujuk kepada kenyataan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan baru-baru ini.
“Apa yang Timbalan Presiden (Umno) katakan apabila beliau mahu Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) meneliti pindaan Perlembagaan (untuk memperkasakan undang-undang syariah)?
“Sebelum kes Nik Elin (Zurina Nik Abdul Rashid), tidakkah pemimpin Umno ini tahu bahawa sejak 1957, kita bukan negara teokrasi, tetapi negara undang-undang sivil? Ini bermakna tidak setiap undang-undang harus ada dalam buku; undang-undang sivil adalah sumber utama undang-undang dalam mentadbir negara ini.
“Sistem syariah adalah untuk undang-undang peribadi, tetapi badan umum undang-undang bukanlah undang-undang agama. Tidakkah mereka (Umno) tahu? Mereka mesti tidur sambil berjalan,” tambahnya.
Jumaat lalu, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 seksyen dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.
Panel lapan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan Nik Elin Zurina dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.
Selepas itu, Mohamad yang juga Menteri Luar berkata, kerajaan meminta kerjasama daripada pihak berkaitan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar untuk meneliti cadangan meminda Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, katanya, keputusan Mahkamah Persekutuan itu tidak memperkecilkan kuasa atau status mahkamah syariah mahupun agama Islam tetapi lebih kepada isu teknikal membabitkan enakmen negeri di Kelantan yang bertindih dengan Perundangan Persekutuan.
Sementara itu, Zaid juga mendakwa bahawa reaksi ahli politik Melayu terhadap kes itu menyerlahkan betapa sebilangan kecil mereka berfikir mengenai masa depan negara, dengan mendakwa bahawa reaksi itu ‘beremosi dan tidak berdasarkan realiti.’
“Mereka (ahli politik Melayu) nampaknya tidak mampu dan tidak mahu menjelaskan kepada rakyat bahawa pilihannya adalah sama ada kita adalah sebuah negara demokrasi yang ditadbir oleh satu set undang-undang am seperti kebanyakan negara, atau kita adalah sebuah negara teokrasi jenis Afghanistan-Iran.
“Sekiranya mereka mahu mengekalkan Malaysia sepertimana negara lain di dunia, maka mereka harus mempertahankan keputusan mahkamah,” kata Zaid.
Peguam terkemuka itu juga memberi amaran supaya tidak ‘mengganggu’ Perlembagaan, dengan mengingatkan bahawa membahagikan negara kepada dua sistem perundangan akan merugikan generasi akan datang dan memberi kesan serius kepada negara.
“Pemimpin kamu akan memberitahu kamu (bahawa) kamu memerlukan lebih banyak undang-undang agama. Tetapi, beritahu mereka undang-undang syariah yang kita ada sekarang tidak dilaksanakan secukupnya.
“Mengapa (ia) mengambil masa bertahun-tahun untuk bercerai? Mengapa bayaran nafkah dan penyelenggaraan tidak boleh dikuatkuasakan dengan cepat? Mengapa kes tertunggak di kebanyakan mahkamah syariah? Mengapa tiada keseragaman undang-undang antara negeri? Tolong jawab,” desaknya.
Beliau juga berkata, beberapa pemimpin yang “ingin negara berpecah” mengambil jalan mudah dengan memberitahu orang ramai bahawa mereka perlu mempunyai undang-undang agama dan bukannya berusaha untuk menyediakan pendidikan lebih baik dan kuasa ekonomi.
“Apabila sistem rosak, anda akan kehilangan lebih banyak daripada orang bukan Islam. Hak ekonomi, kebebasan, pendidikan dan budaya anda akan menderita kerana anda tidak bebas lagi.
“Undang-undang jenayah akan menyelubungi anda kerana mereka tidak menyukai moral anda. Kehidupan anda akan berbeza dan Malaysia akan menjadi tidak dapat dikenali,” kata Zaid, mencadangkan bahawa pemimpin Islam sibuk membongkar sistem perundangan dan bukannya ‘memperbaiki dan mengejar’ orang bukan Islam.
“Beritahu pemimpin kamu ada perkara yang lebih mendesak untuk dilakukan untuk masyarakat Islam,” tambahnya. – 12 Februari, 2024