KUALA LUMPUR – Pemuda Umno menegaskan tidak ada sebarang perkara perlu dibincangkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dengan kepimpinan parti itu berhubung cadangannya mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco.
Ketuanya, Dr Akmal Saleh berkata, ia kerana cadangan itu tidak mempunyai keperluan untuk dicetuskan dan dilaksanakan.
Malah, beliau meminta Kor Ming menghentikan isu mengenai cadangan berkenaan.
“Tiada apa yang perlu dibincangkan lagi.
“Tiada keperluan untuk cadangan ini dan fullstop (noktah),” katanya menerusi Facebook.
Dr Akmal berkata, beliau terbuka untuk memenuhi pelawaan Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan itu untuk bertemu kepimpinan Umno.
Bagaimanapun, katanya, pada pertemuan itu pihak Umno enggan membincangkan berhubung cadangan dikemukakan Kor Ming itu, sebaliknya ingin ‘menyekolahkan’ beliau mengenai sejarah Malaysia.
Justeru, Dr Akmal berkata, sekiranya Kor Ming bersetuju dengan permintaannya, pemimpin itu boleh menetapkan tarikh sesuai untuk kedua-dua pihak bertemu.
“Jika nak jumpa boleh, tetapi kami nak ajar YB menteri mengenai sejarah Tanah Melayu dan Perlembagaan Malaysia sekali.
“Jika YB setuju, lets find a date! (jom tetapkan tarikh),” katanya.
Semalam, media melaporkan, Kor Ming mengajak kepimpinan Umno umtuk berbincang berhubung cadangan mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco.
Beliau dilaporkan mengajak pemimpin Umno bermesyuarat agar beliau dapat menjelaskan fakta sebenar berhubung cadangannya itu.
Ia sekali gus bagi mengelakkan tercetus salah faham serta isu tidak benar mengenai cadangan terbabit.
“Sebenarnya saya ada berhubung dengan pemimpin Umno, kita ajak mereka bermusyawarah supaya kita dapat berbincang dan ketahui hakikat serta fakta sebenar.
“Ia supaya mereka tidak terpesong dengan fakta atau isu sentimen yang dimainkan pembangkang,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, Kor Ming berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang merangka rancangan untuk mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco, bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah penempatan perkampungan diasaskan sejak 76 tahun lalu itu.
Pengiktirafan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan Unesco membolehkan kampung itu diangkat sebagai warisan kebudayaan Malaysia.
Jelasnya, perkara itu akan dibincangkan lebih terperinci dengan kerajaan Selangor.
Rancangan Kor Ming itu mencetuskan ketidakpuasan hati beberapa pihak, termasuk gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang mendesak kerajaan memecat pemimpin terbabit kerana didakwa mencadangkan isu yang boleh menimbulkan ketidakharmonian kaum di negara ini.
Malah, cadangan itu turut ditempelak Setiausaha Agung Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki kerana ia dianggap bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan berisiko merosakkan keharmonian dicapai Kerajaan Perpaduan.
Ujarnya, walaupun tujuan cadangan berkenaan adalah untuk memperkasakan sektor pelancongan negara, Umno berpandangan implikasi terhadap apa dirancang itu terlalu besar serta menyentuh kedudukan Melayu dan Bumiputera secara tidak langsung.
“Umno menolak sekeras-kerasnya cadangan Nga Kor Ming bagi mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco.
“Apabila sesebuah kawasan itu diiktiraf sebagai tapak warisan dunia, maka secara automatik penduduk yang menghuni kawasan terbabit akan dianggap sebagai orang asal dan segala aspek berkaitan pendidikan, budaya serta bahasa akan turut diperakukan.
“Ini sudah tentulah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf hanya Bumiputera sebagai penduduk asal dengan hak keistimewaan tertentu,” katanya.
Menyedari cadangannya ditempelak ramai, Kor Ming menerusi kenyataan menegaskan, segala tuduhan mengatakan KPKT mencabar kepentingan Melayu dan Bumiputra di negara ini, tidak masuk akal.
Tegasnya, tuduhan berbangkit susulan rancangan itu juga tidak logik kerana ia hanya di peringkat cadangan. – 12 Februari, 2024