KUALA LUMPUR – Komposer dan penyanyi, Shila Amzah mengakui, Year Of The Yo yang dipersembahkan bersama artis legenda Hong Kong, Nancy Sit adalah projek lagu Tahun Baharu Cinanya yang pertama.
Bahkan, Shila mengakui dia tidak pernah terfikir atau bermimpi untuk mendapat peluang menjayakan projek seumpama itu bersama Nancy.
“Bagi siapa-siapa yang meminati drama dan filem Kantonis dari zaman TVBB, memang tahu bahawa Nancy adalah seorang legenda yang sangat disegani dan dihormati dalam kalangan generasi baharu industri hiburan Cina.
“Bila dapat peluang melakukan kolaborasi lagu Year Of The The Yo ini dengan Nancy, saya rasa sangat gembira dan teruja. Sebab banyak perkara yang saya dapat belajar daripada beliau terutama dari sudut cara beliau bekerja dan etikanya dalam bekerja,” katanya dalam temubual eksklusif bersama Scoop.
Menurut Shila lagi, sebetulnya, sewaktu dia berjumpa dengan Nancy di Hong Kong pada September tahun lepas, mereka sebenarnya mempunyai perancangan untuk berkolaborasi di dalam filem.
“Tapi, untuk menjayakan projek filem ini, ia memakan masa kerana sebelum bermula, kita perlu tumpukan dahulu kepada skrip dan jalan ceritanya.
“Memandang kami memang teruja untuk bekerjasama, kami fikir apa yang perlu kami lakukan sementara menunggu skrip filem siap.
“Akhirnya, muncullah idea untuk melakukan kolaborasi untuk lagu Tahun Baharu Cina dan terus pergi ke studio miliknya untuk memulakan projek lagu ini,” katanya.
Jelas Shila lagi, bekerja dengan Nancy untuk projek lagu Year of The Yo ciptaan Jonathan Wong ini suatu pengalaman berharga buat dirinya.
“Beliau sangat profesional dan sangat energetik walaupun usia sudah pun mencecah lebih 70 tahun. Beliau juga seorang yang sangat positif dan sentiasa memberi semangat kepada orang yang bekerja di sekelilingnya.
“Sedikit sebanyak ia memberikan keyakinan untuk saya apabila melihat dia mampu bertahan lama di dalam industri terutama dari segi disiplin, cara penjagaan diri dan cara dia menguruskan keluarga sebagai seorang ibu tunggal.
“Kami banyak berkongsi pengalaman dan cerita. Dia pun mula menyanyi sejak kecil. Jadi, banyak cerita dan pengalaman lebih kurang sama di antara kami berdua dan kami boleh habiskan perkataan masing-masing dengan mudah. Itu yang kami boleh klik daripada awal,” tambahnya.
Mengulas mengenai respons muzik video lagu itu di YouTube yang sudah pun mencecah 1.4 juta tontonan dalam tempoh sebulan selepas ia mula dimuatnaik pada 8 Januari lalu, Shila berkata, hal itu bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana Nancy adalah seorang figura yang dihormati dan disegani.
“Apa sahaja yang beliau kerjakan atau lakukan, selalunya akan dapat perhatian. Dan sebenarnya, pada 9 Februari lalu, pihak di Hong Kong baharu saha umumkan lagu Year Of The Yo sebagai lagu Tahun Baharu Cina nombor satu di sana.
“Industri di sana tidak seperti industri di Malaysia atau Singapura. Kita banyak keluarkan lagu raya, sama ada lagu yang betul-betul baharu atau lagu lama yang diberi nafas baharu oleh penyanyi sedia atau penyanyi baharu.
“Tapi, ia bukan satu kebiasaan di Hong Kong atau China. Mereka lebih hargai dengan apa yang sudah sedia ada sebelum ini. Tapi, Alhamdulillah, lagu Year Of The Yo itu diterima dan saya rasa sangat bersyukur dengan kolaborasi ini,” katanya mengakhiri wawancara. – 12 Februari 2024