KUALA LUMPUR — Kegagalan sistem pemadaman api di tingkat 17, Blok 70, Flat Sri Sabah, Cheras dekat sini telah menyebabkan kesukaran kepada Bomba untuk memadamkan kebakaran yang berlaku malam tadi.
Pengarah Jabatan Operasi Bomba dan Penyelamat Malaysia, Nordin Pauzi berkata, keadaan itu menyebabkan Bomba terpaksa meletakkan pam air di tingkat 16 bagi memudahkan proses pemadaman api.
“Ada sistem pemadaman tetapi sistem ini tidak berfungsi sepenuhnya dan Bomba terpaksa menggunakan kelengkapan sedia ada untuk membawa air ke tingkat paling atas.
“Jadi kita bawa relay pumping dan tempatkan di tingkat 16. Apabila pam dalam keadaan baik dan tekanan air di sekitar kawasan ini juga baik, proses pemadaman berjalan lancar,’’ katanya pada sidang media lewat malam tadi.

Lima unit rumah di tingkat 17, Blok 70, Flat Sri Sabah, Cheras dekat sini musnah dalam kebakaran malam tadi.
Mengulas lanjut, Nordin berkata, punca kebakaran dipercayai bermula di unit nombor tiga dan kemudian merebak ke kiri dan kanan tingkat tersebut.
Beliau juga memaklumkan, penduduk mungkin akan menghadapi gangguan bekalan air hari ini, namun bekalan elektrik tidak terjejas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah terlibat dalam kejadian berkenaan.
“Siasatan lanjut akan dilakukan oleh pihak bomba dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan,” katanya.
Menurut Zam Halim seramai 50 anggota polis juga akan ditempatkan di lokasi kejadian bagi tujuan keselamatan dan pemantauan memastikan keadaan berada dalam keadaan baik. – 12 Februari, 2024