Segerakan penggunaan kamera badan tangani isu integriti pegawai, anggota polis

PDRM juga harus melaksanakan prosedur pelaporan dan siasatan yang telus terhadap aduan rasuah dan penyalahgunaan kuasa

2:18 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memerangi rasuah, Malaysia Corruption Watch (MCW) menggesa penggunaan kamera badan (BWC) harus disegerakan bagi menangani isu integriti dalam kalangan pegawai dan anggota polis terutama berkaitan rasuah dan salah guna kuasa.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, ia langkah terbaik yang sesuai dilaksanakan bagi memperkasakan sistem pemantauan dalaman untuk mengesan dan mengendalikan kes rasuah serta penyalahgunaan kuasa dengan lebih tuntas.

Malah katanya, PDRM juga harus melaksanakan prosedur pelaporan dan siasatan yang telus terhadap aduan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, selain meningkatkan latihan dan penekanan terhadap tatakelakuan yang betul dalam kalangan anggota polis.

“Perlu diakui bahawa perlakuan segelintir kecil anggota polis kebelakangan ini benar-benar menjejaskan maruah PDRM.

“PMX (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) sendiri pernah nyatakan dengan jelas bahawa rasuah di Malaysia ini sudah bersifat sistemik, sudah menyerap dalam seluruh sistem pentadbiran, penguatkuasaan dan perancangan, hatta perundangan serta keadilan.

“Susulan itu, PDRM mesti lebih tegas dalam usaha mengembalikan integriti pasukan dengan menekankan kepentingan integriti dalam perkhidmatan anggotanya dan meningkatkan serta mempelbagaikan usaha membanteras rasuah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Jais berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana anggota yang terlibat dalam kesalahan atau kesalahan tingkah laku, tanpa mengira pangkat dengan menyiarkannya di televisyen awam sebagai amaran kepada anggota lain.

“PDRM juga perlu melibatkan komuniti tempatan dalam aktiviti pencegahan jenayah dan menggalakkan penglibatan awam dalam pelbagai program yang bersesuaian.

“Selain itu, PDRM mesti fokus meningkatkan kebajikan anggota di semua peringkat bagi memastikan mereka dapat bertugas dengan selesa serta merancang penambahbaikan perkhidmatan melalui teknologi terkini dan aplikasi strategik demi masa depan negara,” katanya.

Jais Abdul Karim berkata, PDRM juga harus melaksanakan prosedur pelaporan dan siasatan yang telus terhadap aduan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. – Gambar Facebook Jais Abdul Karim, 11 Februari, 2024

PDRM dijangka mula menerima 7,648 unit kamera badan (BWC) secara berperingkat mulai September tahun ini hingga Februari 2025.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, berkata BWC adalah untuk penugasan Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di bawah JPJKK, selain akan diperluaskan untuk penugasan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).

Sementara itu, ditanya sama ada terdapat keperluan mendesak untuk kerajaan menguatkuasakan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), Jais berkata, penubuhan IPCMC tidak lagi berbangkit kerana sudah ditukar kepada IPCC (2020) iaitu Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis.

Sebaliknya, beliau berkata, jawatankuasa suruhanjaya itu yang dilantik sejak tahun lalu sewajarnya memainkan peranan aktif untuk menanggani isu salah laku anggota polis yang kelihatan semakin berleluasa kebelakangan ini.

“Mereka perlu mengambil langkah proaktif dalam mengembalikan integriti anggota polis dengan seberapa segera yang boleh.

“IPCC pasti boleh berfungsi dengan berkesan jika mereka dapat menguatkuasakan dapatan hasil penyiasatannya tanpa perlu mengemukakan syor kepada mana-mana pihak,” katanya.

Tegasnya, beberapa kelemahan dan kekurangan punca kuasa IPCC juga perlu segera diatasi.

“IPCC perlu menjadi mekanisme bebas dan berobjektif untuk membantu mengembalikan imej PDRM secara holistik, seterusnya memberikan keyakinan kepada masyarakat bahawa setiap aduan terhadap anggota polis ditanggani dengan sewajarnya.

“Setiap tindakan IPCC perlu diuar-uarkan untuk makluman masyarakat dengan telus,” katanya. – 11 Februari, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Of Chinese gangs, a M’sian ex-deputy minister, and Burmese rebels: KL event ensnared in Myanmar scam centre?

Human rights group reveals event at JW Marriott for controversial Dongmei Zone, which allegedly sourced billions of ringgit in investments from prominent individuals, and reported by Chinese human trafficking victim to be rife with crime, drugs, brothels

Related