5 polis MPV termasuk Sarjan tidak mengaku salah peras ugut wang RM4,500

Pengarah Pendakwaan Negeri menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh dan menetapkan mereka tidak dibenarkan mendekati saksi sehingga kes selesai

4:40 PM MYT

 

BUKIT MERTAJAM – Lima anggota polis Unit Kereta Peronda (MPV) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan melakukan pemerasan terhadap seorang pekerja kilang.

Sarjan Rozaini Abu Hassan, 48, Koperal Muhammad Mustaqim Ismail, 35, Lans Koperal Muhamad Syakir Haikal Hasli, 24, Koperal Mohd Nurizuan Ahmad Suhaimi, 38, dan Lans Koperal Muhamad Khusairi Ahamad, 30, mengaku tidak bersalah, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.

Mengikut pertuduhan, kelima-lima tertuduh secara bersama didakwa dengan sengaja melakukan pemerasan yang mendatangkan ketakutan terhadap seorang lelaki berusia 28 tahun.

Ia selepas mangsa dikatakan telah melakukan kesalahan kerana memiliki dadah berbahaya, sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM4,500.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi Jalan Permatang Tinggi menghala ke Simpang Ampat dalam daerah Seberang Perai Tengah, jam 10.15 malam, pada 1 Februari.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Pengarah Pendakwaan Negeri, Mohd Nordin Ismail menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh dan menetapkan syarat tambahan mereka tidak dibenarkan mendekati saksi sehingga kes selesai.

Peguam V S Kumar yang mewakili semua tertuduh memohon jumlah jaminan munasabah kepada semua anak guamnya, dengan alasan masing- masing menanggung isteri, anak yang masih kecil termasuk anak orang kurang upaya (OKU) serta ada isteri tertuduh yang sarat mengandung.

Mahkamah menetapkan kesemua tertuduh diikat jamin masing-masing RM5,000 dengan seorang penjamin, serta melarang mereka mengganggu saksi hingga perbicaraan selesai.

Kes akan disebut semula pada 15 Mac depan untuk serahan dokumen.

Media sebelum ini melaporkan lima anggota polis ditahan kerana dipercayai melakukan pemerasan wang berjumlah RM4,500 terhadap pekerja kilang, kerana didakwa memiliki dadah di Jalan Permatang Tinggi. – 9 Februari, 2024

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related