‘Walaupun dikeji dan dilaknat, ini demi kebaikan Malaysia’: Peguam Nik Elin

Beliau tidak berhasrat meneruskan petisyen tersebut ke negeri lain

1:32 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid menyifatkan petisyen yang dikemukakannya bagi mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 bukan untuk kepentingan peribadi, sebaliknya dibuat bagi mempertahankan kedaulatan negara.

Beliau juga tidak berhasrat meneruskan petisyen itu ke negeri-negeri lain.

“Saya buat ini (petisyen) bukan untuk diri saya. Saya buat untuk semua dan Alhamdulillah walaupun dikutuk, dikeji dan dilaknat, demi kebaikan Malaysia.

“Sebagai peguam, kami officers of the court (pegawai mahkamah). Saya percaya memang tugas kita sebagai pengamal undang undang untuk menegakkan dan mempertahankan kedaulatan undang-undang.

“InsyaAllah tidak ada (negeri lain), saya rasa selepas ini. Mereka (Dewan Undangan Negeri) akan lebih berhati-hati merangka undang-undang,” katanya selepas ditemui di Istana Kehakiman, di sini hari ini.

Beliau juga berpandangan selepas kes itu, DUN akan lebih berhati-hati dalam menggubal undang-undang mereka sekaligus mengharmonikan mahkamah syariah dan sivil.

Selain itu, Nik Elin yang juga anak jati Kelantan berkata, petisyen dikemukakannya tiada kena mengena dengan doktrin Islam kerana mahkamah sudah memutuskan ia hanya mengenai kompetensi DUN.

Ditanya mengenai reaksi rakyat Kelantan ketika dia pulang ke kampung halaman, beliau berkata, dia diterima baik oleh rakyat di negeri itu dan tiada apa yang tidak baik berlaku.

“Saya balik Kelantan tidak kena kecam pun, semuanya menyokong saya.

“Kalau yang kata (ada kecaman) saya rasa itu manipulasi fakta sebab saya tiada masalah,” katanya.

Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid (kanan) melangkah keluar dari Mahkamah Persekutuan di Putrajaya hari ini bersama anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman. – Abdul Razak Latif/Scoop, 9 Februari, 2024

Mahkamah Persekutuan hari ini membatalkan 16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang dikemukakan peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anak perempuannya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Man, yang mengetuai panel sembilan panel, menyampaikan keputusan majoriti Hakim 8-1 hari ini, di mana mereka mengekalkan Seksyen 13 (menjual atau memberikan anak kepada bukan Islam atau orang Islam yang rosak akhlaknya).

Oleh itu, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan bahawa 16 peruntukan termasuk Seksyen 14 (liwat), Seksyen 16 dan 17 (hubungan seksual dengan mayat dan bukan manusia) serta Seksyen 42 (penyalahgunaan label dan konotasi halal) adalah terbatal.

Terdahulu, Tengku Maimun berkata, dua peruntukan iaitu Seksyen 5 (tuntutan palsu) dan Seksyen 37 (perjudian) yang ditarik balik oleh kedua-dua mereka tahun lepas dianggap sah.

Dengan keputusan itu, Badan Perundangan Negeri Kelantan tidak lagi mempunyai bidang kuasa menggubal 16 peruntukan undang-undang yang dipertikaikan itu. – 9 Februari, 2024

Topics

 

Hangat

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Regulating social media to protect children is a multi-agency effort, groups tell MCMC

Children’s issues cover many facets thus their digital rights and freedom of expression must not be restricted in the process of licensing platforms  

Book vouchers for students: MoE, MoHE unaligned on distribution method?

Fadhlina Sidek, in a ministry statement, says those eligible can claim through its Delima app via Kota Buku Digital feature, but Datuk Seri Zambry Abdul Kadir says mechanism will be disclosed later

Related