KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin menafikan dakwaan beliau bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berunding mendapatkan jawatan demi ‘survival’ politik.
Menurut Hamzah, beliau tidak pernah bertemu Anwar sejak Ahli Parlimen Tambun itu memegang tampuk pemerintahan negara pada November 2022.
“Itu fitnah, saya tak pernah jumpa Anwar sejak beliau jadi PM, terjumpa di Parlimen itu memang ada,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Ketua-Ketua Jawatankuasa Portfolio Dewan Rakyat ke-15, PN di sini hari ini.
Hamzah turut menjelaskan, pemimpin Bersatu yang terpalit sama dengan dakwaan tersebut menafikan ada berbuat demikian seperti mana yang diperkatakan sebelum ini.
“Baru-baru ini kami ada mesyuarat MPT (Majlis Pimpinan Tertinggi), pemimpin yang dituduh terbabit bersumpah wallahi tak jumpa Anwar,” katanya yang juga Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Terdahulu, media melaporkan seorang pemimpin utama Bersatu baru-baru ini sering kelihatan di pejabat Jabatan Perdana Menteri (PMO) dipercayai melakukan rundingan demi ‘survival’ politik beberapa pemimpin tertentu sehingga pilihan raya parti.
Sumber yang enggan dinamakan mendakwa, pemimpin Bersatu berkenaan berjanji akan memberikan lebih banyak sokongan Ahli Parlimen Bersatu kepada kerajaan.
Kata sumber itu, lebih ramai wakil rakyat Bersatu dijangka mengisytiharkan sokongan kepada Anwar.
Sementara itu, Hamzah menjelaskan berdasarkan hierarki parti, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih layak menjadi calon Perdana Menteri, di sebalik dakwaan pihak luar mengatakan terdapat calon PM lain dalam parti tersebut.
“Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah presiden saya (Bersatu), beliau juga adalah mantan Perdana Menteri dan masih ada peluang (bergelar PM).
“Tiada masalah untuk Bersatu promote beliau sebagai calon Perdana Menteri sekali lagi.
“Kenapa kami perlu announce kami ada calon lain sedangkan beliau adalah Pengerusi PN,” katanya. – 8 Februari, 2024