KUALA LUMPUR – Mayat seorang lelaki dipercayai warga asing ditemui terapung di Taman Tasik Seksyen 14, Shah Alam pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada orang awam kira-kira jam 8.19 pagi tadi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa tidak mempunyai dokumen pengenalan diri disyaki warga asing kerana tidak mempunyai suntikan BCG di bahu sebelah kiri.
“Mayat ditemui berpakaian lengkap dalam keadaan terlangkup,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Iqbal berkata, pemeriksaaan pihak forensik mendapati terdapat kesan luka melecet pada leher disebelah kanan dan kiri serta luka kecil di pipi dan hidung mangsa.
“Tiada kesan pergelutan dan lain-lain kecederaan pada tubuh mangsa yang boleh menyebabkan kematian,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Shah Alam untuk dijalankan post-mortem pada jam 9 pagi esok bagi mengenal pasti punca kematiannya.
“Siasatan dijalankan dibawah laporan kematian mengejut. Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor, Ahmad Fazlin Rasli di talian 012-5113584. – 7 Februari, 2024