KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki berusia 36 tahun yang bertindak mengamuk, menyembur air arak di kepala ibu selain mengugut akan mencederakan ahli keluarganya menggunakan pisau dan parang dalam kejadian di sebuah rumah di Felda Palong 2, Gemas, Negeri Sembilan, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, pada jam 8.30 malam, adik kepada lelaki tersebut menerima panggilan telefon daripada ibunya memberitahu suspek telah mengamuk.
Selain itu katanya, suspek turut menyemburkan air arak di kepala ibunya semasa mangsa bersama isteri dan anak suspek berusia 12 tahun berada di sebuah bilik di rumah tersebut.
Terdahulu menurut beliau, ketika ketiga-tiga mangsa berada di dalam bilik tersebut, mereka terdengar suspek mengamuk dan mengeluarkan kata-kata kesat.
“Suspek kemudiannya masuk ke bilik sambil membawa sebotol arak dan meminumnya di depan ketiga-tiga mangsa. Semasa suspek meminum air arak, suspek telah menyemburkan air arak di kepada ibunya namun cuba dihalang isterinya. Tetapi suspek tidak menghiraukannya.
“Setelah itu suspek terus keluar dari bilik. Selepas suspek keluar, isterinya terus mengunci pintu bilik tersebut menggunakan selak pintu. Beberapa minit kemudian suspek datang semula di depan bilik dan mengugut akan mencederakan sesiapa yang keluar dari bilik itu menggunakan pisau dan parang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Chang Hook memberitahu, maklumat kejadian telah dimaklumkan kepada Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol dan anggota dari Balai Polis Rompin bergegas ke tempat kejadian dan menahan suspek.
Katanya, suspek yang bekerja sebagai pemandu lori didapati memiliki satu rekod jenayah dan satu rekod salah guna dadah.
“Perintah reman telah dipohon hari ini di Mahkamah Bahau dan reman dibenarkan selama empat hari.
“Saringan air kencing terhadap suspek mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine. Siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya. – 6 Februari, 2024