PUTRAJAYA – Peningkatan mendadak dalam aspek kemampuan Kerajaan Perpaduan memberikan sumbangan kepada rakyat adalah disebabkan kejayaan mengurangkan ketirisan dan pembaziran.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, peningkatan itu juga berlandaskan kejayaan program dilaksanakan kerajaan.
“Secara keseluruhannya seperti mana saya umum, peningkatan mendadak dari segi sumbangan kepada rakyat ini hanya dilakukan kerana kejayaan keseluruhan kerajaan untuk mengurangkan kos yang kita anggap tiris atau membazir.
“Pada masa sama, kejayaan program-program termasuk penyasaran subsidi eletrik, pengapungan harga ayam dan ini semua membantu untuk kita mendapatkan hasil lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini.
Anwar memaklumkan, walaupun kerajaan giat melaksanakan pelbagai langkah penting untuk pembangunan dan kebaikan negara, ia sekali-kali tidak akan mengetepikan masalah serta kepentingan kebajikan rakyat.
“Jadi sementara saya umumkan hal ini (Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam), ia tidak termasuk langkah lain dibuat (semua) kementerian, kerajaan negeri.
“Saya umumkan sementara kita bincang soal penting…ekonomi yang baik, sistem tender lebih kemas, tetapi kita tak tinggalkan masalah kebajikan rakyat kerana betapa pun kita akan tangani kos sara hidup, ada masih mengeluh kerana dalam beberapa barang keperluan masih hadapi,” katanya.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kejayaan Kerajaan Perpaduan turut didorong dan disumbang perkhidmatan baik dilaksanakan badan penguatkuasa, termasuk Jabatan Kastam serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Khidmat badan penguatkuasaan ini yang boleh membawa hasil lebih baik dan buktinya, kita boleh tambah lonjakan besar dan insya-Allah, satu pengumuman baik bila kita selesaikan mesyuarat penyelarasan gaji penjawat awam nanti,” katanya.
Sementara itu, Anwar memuji pencapaian dan perkhidmatan semakin baik ditunjukkan kementerian dalam melaksanakan peranan masing-masing.
“(Contohnya) Saya lihat Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan lebih cergas dalam menyelesaikan isu, termasuk soal bawang ini.
“Jadi ada orang panggil menteri bawang pula, tak apa lah, apa pun kerja berjalan dengan begitu baik,” katanya.
Pada perhimpunan itu, Perdana Menteri menyeru kakitangan kerajaan, termasuk dalam kalangan tenaga kerja Kementerian Kewangan terus gigih bekerja dan bersabar dengan cabaran tugas dihadapi.
“Saya ingin menyeru rakan-rakan teruskan kerja kalau ada berita-benda negatif sikit tu biasa dan minta kesabaran, tapi kita yang pantau dari dekat kita tahu (situasi sebenar) mengenai kesungguhan.
“Tidak boleh (disebabkan) satu dua kes yang negatif ini merosakkan susu satu belangga, walaupun kita cuba tangani mengikis unsur kecil merosakkan ini tapi kita harus berlaku adil kerana ada kejayaan kita,” katanya. – 6 Februari, 2024