KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima 124 laporan berkaitan penipuan pelaburan mata wang kripto dikenali sebagai ‘Accerx’ sejak November lalu dengan kerugian keseluruhan dicatatkan berjumlah RM90,364,463.08.
Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, siasatan yang dijalankan setakat ini telah berjaya mengenal pasti 73 syarikat atau perniagaan, 83 akaun bank milik syarikat atau perniagaan dan satu akaun bank individu yang digunakan dalam kegiatan penipuan sindiket itu.
Menurut beliau, antara lain seorang individu berusia 24 tahun yang berperanan sebagai pemilik keldai akaun telah dituduh di mahkamah bersabit satu kes di Keningau, Sabah.
“Pertuduhan dibuat pada 3 Januari lalu di bawah Seksyen 22A(1) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil (Sabah).
“Pada 30 Januari lalu, satu laporan polis diterima di Sentul, Kuala Lumpur dari seorang lelaki berusia 60 tahun yang kerugian RM11,130,123 setelah menyertai skim pelaburan Accerx. Jumlah kerugian itu merupakan yang tertinggi setakat ini bagi satu kes.
“Melalui laporan polisnya, pengadu yang juga seorang pengarah syarikat mendakwa pada September 2023, beliau telah terpedaya dengan skim pelaburan mata wang kripto yang diiklankan di Facebook. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rohaimi berkata, PDRM ingin mengingatkan kepada mana-mana pihak yang mungkin masih berurusan dengan skim pelaburan itu untuk menghentikannya dan membuat laporan polis.
Sebagai langkah pencegahan katanya, orang ramai yang ingin terlibat dalam urus niaga mata wang kripto dinasihatkan membuat semakan kesahihan exchanger yang menawarkan perkhidmatan tersebut melalui laman web www.coinmarketcap.com.
“Sebarang maklumat berkenaan kesahihan pelaburan mata wang kripto juga perlu dirujuk kepada agensi yang berkenaan termasuk Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti.
“Perkara ini penting bagi memastikan wang pelaburan anda dilindungi, sekali gus mengelak daripada terjerumus menjadi mangsa scammer,” katanya. – 5 Februari, 2024