KUALA LUMPUR – Tidak seperti Oscars atau Golden Globe, Anugerah Grammy seringkali terkenal dengan kod pemakaian yang lebih longgar.
Sesetengah bintang akan menggunakan kesempatan untuk melaram dengan pakaian yang cukup glamor di karpet merah, manakala yang lain pula lebih berani untuk menonjolkan gaya fesyen yang sedikit berbeza.
Namun, setiap kali artis memilih sesuatu yang baharu, penampilan mereka tidak selalunya akan menarik perhatian ramai, lebih-lebih lagi jika apa yang dipakai itu sebetulnya buruk dalam definisi fesyen.
Berikut artis yang tampil dengan pakaian terbaik dan siapa pula yang bergaya buruk di karpet merah Anugerah Grammy kali ini:
Yang cantik dan menarik
Dua Lipa
Penyanyi Dance the Night ini menyarungkan gaun perak rekaan Courrèges yang menampilkan potongan garis leher V menjunam sehingga ke bawah dada. Dia juga memakai kalung ikan daripada Tiffany & Co.
“Saya berasa kuat dengan pakaian ini. Ia sememangnya pakaian logam berat. Saya rasa seperti Joan of Arc,” katanya.
Janelle Monae
Antara artis yang sering tampil glamor di mana-mana anugerah. Penyanyi dan calon Grammy ini tampil memukau dengan gaya monokrom berlabuci oleh Armani Privé dengan hiasan bunga yang diperbuat daripada kristal hitam dan perak.
“Saya berasa sangat klasik, timeless dan futuristik. Saya juga gembira kerana album saya dicalonkan untuk kategori Album Sepanjang Tahun,” katanya ketika mengulas mengenai The Age of Pleasure.
Kelly Clarkson
Penyanyi Chemistry ini kelihatan cukup glamor dan menawan sekali dengan gaun ivory yang berpotongan duyung.
Segalanya kelihatan sempurna dengan penampilan Kelly pada malam itu. Dia juga turut membawa anak lelakinya, Remy yang berusia 7 tahun sebagai teman.
Ia boleh dianggap sebagai pelengkap aksesorinya yang sempurna.
Olivia Rodgiro
Gaun Versace vintaj ini berjaya menyerlah sisi elegan dan kematangan penyanyi Vampire yang berusia 20 tahun ini.
Olivia tampil dengan labuci delima dan tali spageti labuci berkembar, dilengkapi dengan gincu merah menyala yang berani. Penampilan seperti ini pernah dicetuskan buat pertama kalinya oleh Linda Evangelista pada 1995.
Yang buruk dan tidak menarik
Miley Cyrus
Sebelum menerima kemenangan pertamanya dalam Persembahan Pop Solo Terbaik untuk lagu Flowers, Miley Cyrus tampil dengan fesyen rekaan khas daripada Maison Margiela.
Penampilan yang berinspirasikan ala gladiator ini dibuat sepenuhnya menggunakan pin dan digayakan dengan fesyen rambut yang diterbangkan angin.
Penampilan Miley memang salah sama sekali dan pasti ia akan mencetuskan banyak meme di media sosial.
Taylor Swift
Walaupun pasukan penggaya fesyen cuba mencipta penampilannya yang berinspirasikan daripada album Reputation apabila mengenakan gaun Schiaparelli dengan sarung tangan opera hitam, namun ada sesuatu yang tidak lengkap pada bintang pop kesayangan ramai ini.
Mungkin, Taylor patut menanggalkan sarung tangan operanya itu dan kemudian fesyen rambutnya juga perlu diberikan perhatian.
Doja Cat
Sentiasa menjadi dirinya sendiri. Itulah Doja Cat. Penyanyi Paint The Town Red ini memilih untuk mengenakan rekaan Dilara Findikoglu yang mana dia menggunakan tatu seni badannya sebagai aksesori, manakala dia membuat tatu palsu untuk nama pereka fesyen itu di dahinya.
Memang pelik betul fesyen yang ditampilkan Doja Cat ini dan sudah tentu ia bukanlah sesuatu yang digemari ramai.
Fantasia Barrino
Penyanyi The Color Purple ini tampil berani dengan rekaan Cong Tri. Namun, fesyen ini memang tidak kena dengannya.
Daripada garis leher yang lebar, sarung tangannya yang sepadan dengan warna dan material gaunnya sehinggalah kepada potongan gaun itu sendiri. – 5 Februari, 2024