KUALA LUMPUR – Bintang pop, Miley Cyrus, 31, membawakan lagu Flowers yang baru sahaja memenangi kategori Persembahan Pop Solo Terbaik di Anugerah Grammy 2024 di Crypto.com Arena di Los Angeles.
Mengenakan pakaian berwarna perak yang cukup mempesonakan, Miley cuba beraksi ala penghibur Tina Turner dengan koreografi menggetarkan saat membawakan lagu Proud Mary.
Bekas isteri kepada aktor Liam Hemsworth ini juga sempat bergurau dengan penonton apabila dia membawakan lagu Flowers.
“Mengapa anda semua berpura-pura seperti tidak tahu lagu ini?” soalnya.
Bahkan, Miley sempat menukar lirik dalam single hitnya itu kepada ‘Saya baru sahaja memenangi Grammy pertama saya’, merujuk kepada kemenangannya dalam acara penuh berpestij itu selepas memenangi kategori Persembahan Pop Solo Terbaik untuk lagu Flowers.
Persembahan itu berakhir dengan aksi mikrofon jatuh yang penuh dramatik dan Miley kemudian keluar dari pentas.
Kali terakhir bekas bintang Disney Channel ini menyerikan pentas Grammy adalah pada 2019, sewaktu dia bergandingan dengan Shawn Mendes untuk lagu duetnya, In My Blood.
Manakala, dia beraksi buat pertama kali di Grammy pada 2009, apabila dia menyertai Taylor Swift untuk membawakan lagu Fifteen, iaitu lagu klasik Taylor dalam album keduanya, Fearless.
Miley mengambil keputusan untuk tidak mengadakan konsert jelajah selepas mengeluarkan album terbaharunya Endless Summer Vacation pada tahun lalu.
Dia hanya mengadakan sekali persembahan secara live untuk lagu Flowers di Chateau Marmont di Los Angeles untuk keluarga dan rakan-rakan sebelum beraksi di Grammy.
Penyanyi Used to Be Young ini juga berjaya mencapai sukses luar biasa setelah mengeluarkan album studio kelapannya itu.
Lagu Flowers menjadi lagu mencintai diri yang diterima ramai dan antara lagu paling popular pada 2023.
Bahkan, ia turut menjadi lagu pertama yang mencapai lebih 100 juta strim di Spotify dalam masa satu minggu. – 5 Februari, 2024