KLANG – Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dikenali sebagai penguatkuasa jenayah yang mengetuai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman sebagai pengarah, namun tidak ramai yang tahu bahawa beliau mempunyai latar belakang melangkaui tugasnya itu.
Dilantik memegang jawatan berkenaan pada Ogos tahun lepas, Shuhaily telah dinaikkan pangkat daripada jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur pada 15 Mei.
Bagaimanapun, tidak ramai yang tahu bahawa Shuhaily, anak jati Kuala Lumpur, mengasah disiplin dan pemikiran strategik menerusi penglibatan awal sebagai atlet hoki.
Penyertaannya dalam pertandingan berprestij seperti Sukan Malaysia (Sukma) dan Piala Tun Abdul Razak, ketika bersekolah di Methodist Kuala Lumpur, telah meletakkan asas kepada karatkternya.
Malah, sebahagian disiplin dan pemikiran strategik itu dibentuk ketika beliau bermain hoki di bawah tunjuk ajar bekas jurulatih kebangsaan, Paramalingam Chelliah.
“Ia adalah disiplin, kerja berpasukan dan keinginan untuk menang. Ia sentiasa menjadi perbincangan mengenai strategi dengan jurulatih Param. Bagi kami, apabila ia berkaitan dengan kerja, apabila kita ingin mencapai sesuatu, kita tidak boleh melakukannya sendirian – kita mesti bekerja berkumpulan.
“Strategi yang betul akan menjadikan ia kenyataan. Di situlah saya mendapat asas untuk merancang dan kerja berpasukan daripada semua jurulatih yang hebat,’’ katanya.
Shuhaily, 52, berkata demikian semasa pertemuan dengan beberapa bekas rakan sepasukannya di rumah Paralingam di Jalan Keriang, di sini, hari ini. Turut serta ialah bekas pemain kebangsaan dan Olimpik 1996, Lum Mun Fatt dan Calvin Fernandez.
Shuhaily, bekas pemain tengah berkata, perjalanan karier hokinya bermula di bawah bimbingan Paralingam pada usia 19 tahun.

Meskipun mewakili Kuala Lumpur dan Selangor, Shuhaili mengakui beliau tidak cukup ‘matang’ untuk dipilih menyertai pasukan kebangsaan.
“Semuanya bermula pada 90-an apabila saya masih belajar. Saya adalah pemain hoki KL, jurulatih Param memberi peluang kepada saya untuk berlatih dan menjemput saya untuk bermain bagi Klang dan Selangor. Saya bertanding di Sukma, Piala Razak, liga nasional (junior) dan lain-lain kejohanan tempatan.
“Jurulatih akan menjadikan kita matang di atas padang. Bagi saya, saya tidak matang ketika bermain hoki, dan sebab itu saya tidak terpilih ke pasukan kebangsaan.
“Namun dalam tugas, itulah elemen dan dinamik yang perlu ada,’’ kata Shuhaily yang menyertai pasukan polis pada 1998.

Paramalingam, yang akan menyambut ulang tahun ke-90 pada 5 November ini, berjuang melawan penyakit paru-paru tersumbat kronik atau COPD, sejak 2019 disebabkan demam denggi.
Ketika ditanya apa perasaannya dapat bertemu dengan anak didiknya selepas sekian lama, Paramalingam meluahkan kegembiraan.
“Gentleman ini (Shuhaily) – walaupun berada di Bukit Aman atau di balai polis lain – jika saya menghubunginya untuk bantuan, beliau tidak akan berkata ‘tidak’.
“Sebaik sahaja saya bertanya, bantuan sudah diberikan. Itu karakter beliau.
“Namun kita tidak sepatutnya menggunakan kedudukan orang lain untuk kepentingan sendiri. Anda mesti ingat, anda tidak boleh mengambil kesempatan hanya kerana anda kenal dia dengan baik,’’ katanya. – 4 Februari, 2024