KUALA LUMPUR — Kepimpinan Umno sepakat untuk meneruskan usaha pembelaan terhadap bekas presidennya, Datuk Seri Najib Razak, kata Setiausaha Agung parti, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.
Ia susulan keputusan yang dibuat dalam mesyuarat tertutup parti itu hari ini, yang melibatkan pemimpin bahagian Umno, serta Ketua Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri.
“Semua tadi menjunjung kasih dengan titah kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai institusi yang sentiasa membela institusi raja Melayu.
“Kita hormati keputusan dibuat. Pelembagaan kata ia kuasa mutlak, tidak boleh pertikai oleh sesiapa pun,’’ katanya.
Asyraf mengingatkan semua pihak supaya tiada suara sumbang mempertikaikan apa yang diputuskan oleh Lembaga Pengampunan.
Semalam, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Lokman Noor Adam memaklumkan mesyuarat tertutup itu akan diadakan bagi membincangkan mengenai petisyen bagi mengumpul tandatangan ahli Umno di seluruh negara sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong ke-17 untuk mempertimbangkan keputusan Lembaga Pengampunan.
Lokman berkata, parti itu akan merayu supaya Najib menerima parol atau tahanan dalam rumah.
Proses petisyen berkenaan, katanya, akan dimulakan dengan memberikan penjelasan kepada ketua-ketua Umno bahagian untuk memberikan penjelasan mengenai ‘kedudukan sebenar’ dalam proses pengampunan Najib.
Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan bagi Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya pada beberapa hari lalu mengumumkan bahawa Najib diberikan pengurangan hukuman penjara dan denda.
Lembaga Pengampunan bersetuju untuk Najib dibebaskan pada tarikh awal iaitu 23 Ogos 2028 dan denda yang perlu dibayar ialah sebanyak RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.
Jika denda itu tidak dibayar, tempoh penjara bagi Najib akan ditambah selama setahun di mana tarikh pembebasan beliau adalah pada 23 Ogos 2029.
Najib, yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan, didapati bersalah atas tuduhan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd pada 28 Julai, 2020. – 4 Februari, 2024