KUALA LUMPUR – Seorang mangsa penipuan sebuah syarikat umrah kecewa kerana sudah beberapa kali membuat laporan polis namun akhirnya laporan berkenaan diputuskan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) atau Rujuk Agensi Lain (ROA).
Mangsa yang dikenali sebagai Minah Basir, 47, mendakwa laporan berkenaan dikategorikan sebagai NFA hanya kerana pihaknya menulis mahu menuntut semua wang.
Peniaga, Minah Basir, 47, mendakwa, hanya kerana dalam laporan pihaknya menulis menuntut supaya wang tersebut dikembalikan, laporannya terus dikategorikan sebagai NFA.
“Bukan saya sahaja, malah berpuluh-puluh laporan polis dibuat ramai lagi mangsa terhadap syarikat yang sama, orang yang sama dan kes yang sama kemudiannya dikategorikan NFA atau pun ROA.
“Sepatutnya mangsa-mangsa ini dibimbing dan dibantu dalam membuat laporan polis, kerana ada yang tidak tahu, jadi mereka hanya tulis jadi mangsa penipuan dan menuntut supaya wang dikembalikan, terus tolak NFA,” katanya kepada Scoop baru-baru ini.
Minah, yang juga seorang peniaga dari Puchong berkata, laporan polis terhadap syarikat pelancongan umrah dan haji itu mula dibuatnya pada Mac tahun lalu selepas gagal mendapat maklum balas daripada syarikat terbabit.
Laporan itu, katanya dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya selepas mendakwa pihak syarikat berdiam diri meskipun dia sudah membuat bayaran RM38,000 untuk tempahan mengerjakan umrah.
Bayaran itu dibuat sejak penghujung Januari lalu bagi membawa 20 ahli keluarganya mengerjakan umrah yang sepatutnya mengikut jadual pada November tahun lalu.
Minah berkata, segala prosedur sudah dilakukan oleh mereka dengan harapan dapat memperoleh semula wang berkenaan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sebanyak 25 kertas siasatan dibuka pihaknya setakat ini berhubung penipuan oleh sebuah syarikat pengendali umrah yang kini digantung lesen operasinya.
“Kertas siasatan itu sedang dilengkapkan dengan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan sebelum dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Ramli berkata, pihaknya juga sudah menahan dan mengambil keterangan pengarah syarikat terbabit yang juga pasangan suami isteri di Putrajaya pada 4 Januari lalu sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
Katanya, sejak Januari hingga Disember lalu, pihaknya menerima 432 laporan berhubung kes sama membabitkan kerugian mencecah hampir RM15 juta.
“Sebanyak 229 laporan polis berkaitan syarikat berkenaan telah dirujuk ke Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan Tribunal Tunturan Pengguna (TTPM), manakala lima laporan dirujuk ke Mahkamah Majistret bagi tuntutan sivil.
“Sebanyak 165 kes diklasifikasi sebagai NFA sementara TTPM mengeluarkan tuntutan (Award) kepada 133 aduan melibatkan tuntutan berjumlah RM3,355,548.60 daripada 177 aduan tuntutan yang dibuat,” katanya.
Isu mengenai laporan tersebut turut mendapat perhatian daripada Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) yang mempersoalkan tindakan pihak berkuasa mengklasifikasi siasatan terhadap syarikat pengendali umrah ternama itu sebagai ROA walaupun ratusan mangsa mendakwa ditipu.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, seramai 123 mangsa yang kerugian RM1.3 juta meluahkan kekecewaan apabila kes mereka didakwa tiada sebarang unsur jenayah di bawah siasatan pihak polis walaupun secara terang-terangan telah ditipu.
“Justeru kita mohon pihak polis menyiasat ke mana wang itu ‘hilang’ selepas pelbagai janji termasuk cek dan jadual penerbangan semula dibatalkan beberapa kali oleh syarikat-syarikat terbabit,’’ katanya. – 6 Februari, 2024