Bekas pegawai CIA dipenjara 40 tahun bocor alat penggodam sulit kepada WikiLeaks

Alat tersebut membolehkan pegawai risikan menggodam telefon pintar dan menggunakannya sebagai peranti mendengar

9:49 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Seorang bekas pegawai Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat (AS) dijatuhi hukuman penjara 40 tahun kerana membocorkan alat penggodaman sulit paling berharga kepada WikiLeaks.

Joshua Schulte juga didapati bersalah memiliki imej penderaan kanak-kanak.

Pendakwa raya menuduhnya membocorkan alat “Vault 7” CIA, yang membolehkan pegawai risikan menggodam telefon pintar dan menggunakannya sebagai peranti mendengar.

Mereka berkata, kebocoran itu antara salah satu perbuatan “kurang ajar” dalam sejarah AS.

Schulte, 35, berkongsi kira-kira 8,761 dokumen kepada WikiLeaks pada 2017, yang juga pelanggaran data terbesar dalam sejarah CIA, kata Jabatan Keadilan AS.

Dia menafikan dakwaan itu, tetapi disabitkan atas pelbagai pertuduhan dalam tiga perbicaraan Persekutuan berasingan di New York pada 2020, 2022 dan 2023.

Kelmarin, dia dijatuhi hukuman atas tuduhan mengintip, menggodam komputer, menghina mahkamah, membuat kenyataan palsu kepada FBI dan memiliki imej penderaan kanak-kanak.

“Joshua Schulte mengkhianati negaranya dengan melakukan beberapa jenayah pengintipan yang paling kurang ajar dan keji dalam sejarah Amerika,” kata Peguam AS, Damian Williams.

Menurut bukti yang dikongsi semasa perbicaraan, Schulte bekerja sebagai pembangun perisian di Pusat Perisikan Siber, yang menjalankan pengintipan siber terhadap organisasi pengganas dan kerajaan asing.

Pendakwa raya berkata, pada 2016 dia menghantar maklumat yang dicuri kepada WikiLeaks dan kemudian berbohong kepada ejen FBI mengenai peranannya dalam kebocoran itu.

Mereka berkata, tindakannya itu didorong oleh kemarahan disebabkan pertikaian di tempat kerja.

Schulte bergelut untuk memenuhi tarikh akhir dan Penolong Peguam AS, Michael Lockard berkata, salah satu projeknya tidak dapat disiapkan mengikut jadual sehingga dia mendapat nama samaran “Drifting Dealine”.

Pendakwa raya berkata, dia mahu menghukum mereka yang dianggap melakukan kesalahan kepadanya dan “melaksanakan dendam itu dengan menyebabkan kerosakan besar kepada keselamatan negara ini”.

Wikileaks mula menerbitkan data terperingkat daripada fail yang dibocorkan pada 2017. – Agensi

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Closure of Bandar Sri Damansara post office worries local community – Ravindran Raman Kutty

BANDAR Sri Damansara is a unique township that is equipped with almost every amenity, including a dynamic post office. We, through the resident’s association, managed to secure this post office in the late 1990s, and our residents have been enjoying the services to date. 

Related