Tragedi menjelang CNY, peniaga rugi RM18,000 akibat perbuatan khianat

Suspek seorang penganggur ditahan di Taman Karuppiah, Padang Jawa, kira-kira jam 1 tengah hari tadi

4:07 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kurang dua minggu sebelum sambutan Tahun Baru Cina, malang menimpa seorang peniaga bunga api yang kerugian hampir RM18,000 apabila gerai jualan barangannya terbakar selepas dibaling botol berisi petrol oleh seorang lelaki di Taman Eng Ann di Klang, Selangor semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu menyebabkan sebahagian besar gerai berkenaan terbakar namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohd Khairi Shafie berkata, siasatan awal mendapati mangsa berusia lingkungan 50-an sedang berniaga limau, bunga api dan mercun di tepi jalan taman perumahan tersebut.

“Pengadu kemudian didatangi suspek lelaki berusia 25 tahun menunggang motosikal Yamaha 135LC yang mahu membeli bunga api.

“Selepas membungkus, suspek dikatakan tidak mempunyai wang untuk membelinya dan pengadu mengambil semula bungkusan itu.

“Namun, sekitar jam 7 malam lelaki itu datang semula ke gerai berkenaan dengan membaling botol berisi petrol sehingga berlaku kebakaran yang berjaya dipadamkan bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Khairi berkata, hasil maklumat membawa kepada penahanan suspek di Taman Karuppiah, Padang Jawa di sini, kira-kira jam 1 tengah hari tadi.

“Semakan mendapati lelaki yang menganggur itu mempunyai dua rekod jenayah lampau.

“Nilai kerugian dianggarkan RM18,000 dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat dengan api,” katanya.

Beliau juga meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara atau balai polis berdekatan. – 31 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related