KUALA LUMPUR – Tiga anggota polis trafik direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan perbuatan meminta wang daripada pasangan warga United Kingdom (UK) yang juga pempengaruh media sosial, bagi menyelesaikan saman kesalahan trafik baru-baru ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, tiga anggota trafik dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak yang ditahan itu berusia 37 hingga 42 tahun.
Menurutnya, ketiga-tiga anggota terbabit kini dalam tahanan reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 1 Februari ini bagi membantu siasatan insiden yang berlaku di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands itu.
“Kesemua mereka ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan; Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.
“Kertas siasatan kes ini diambil alih oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya apabila siasatan dilengkapkan,” katanya.
Selain itu, Mohd Yusri berkata, siasatan dalaman juga dijalankan membabitkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman (JIPS).
“JSPT Perak terkesan satu video yang tular di media sosial mengenai tindakan anggota trafik yang menahan pelancong yang dalam edisi jelajah Malaysia dan menawarkan bayaran saman dengan menerima suapan RM100.
“Kami menyeru mangsa terlibat dalam kes ini agar tampil memberikan kerjasama bagi membantu melengkapkan siasatan dengan kadar segera. Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi sehingga menjejaskan siasatan polis,” katanya.
Awal hari ini, Mohd Yusri mengesahkan pihaknya sudah mengenal pasti anggotanya yang terbabit dalam insiden itu.
Malah, beliau turut mengakui pasangan warga asing terbabit memberikan kerjasama apabila sudah berhubung dengan polis.
Terdahulu, kejadian itu tular apabila perbuatan anggota polis itu yang kononnya menawarkan diskaun saman trafik kepada pasangan warga UK ketika ditahan bagi kesalahan memandu melebihi had laju, sempat dirakam.
Anggota terbabit mendakwa pasangan berkenaan memandu selaju 80 kilometer sejam (km/j), melebihi had laju di laluan itu iaitu 60 km/j, sebelum mengeluarkan saman.
Bagaimanapun, anggota polis itu kemudiannya menawarkan ‘diskaun’ saman berkenaan daripada RM300 menjadi RM100, jika dibayar terus kepadanya iaitu tanpa dibayar di balai polis. – 30 Januari, 2024