
KUALA LUMPUR – Eastern Sabah Security Command (ESSCom) giat memburu 13 individu dikehendaki (wanted list) kerana mempunyai kaitan dengan aktiviti militan serta jenayah rentas sempadan di luar kawasan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone).
Bercakap kepada Scoop, Komander Eastern Command (KEC) ESSCom, Datuk Victor Sanjos berkata, pihaknya bersama Cawangan Khas Bukit Aman melalui kajian sasaran terrorism (keganasan) sentiasa memantau ancaman dan aktiviti individu terbabit daripada masuk ke kawasan ESSZone.
Menurut beliau, maklumat mengenai 13 individu itu dinilai melalui kerjasama rapat dan perkongsian risikan dengan pihak berkuasa Filipina dan Indonesia seperti Western Mindanao Command (Westmincom), Armed Forces of the Philippines (AFP), Philippine National Police (PNP) dan Kepolisian Negara Republik Indonesia (Polri).
“Saya akan umumkan nama-nama individu dikehendaki itu nanti,” katanya.

Di samping itu menurutnya, ESSCom terlibat dalam inisiatif mekanisme kerjasama pelbagai hala Perjanjian Kerjasama Trilateral Malaysia-Indonesia-Filipina (TCA) bagi menyelaras tindakan penguatkuasaan di laut, perkongsian maklumat dan memastikan perairan di sempadan ketiga-tiga negara selamat daripada ancaman elemen jenayah rentas sempadan.
Katanya, ESSCom memandang serius terhadap cubaan dan ancaman yang ingin diwujudkan oleh mana-mana kumpulan militan.
“Dalam tempoh kajian setakat ini mendapati tidak wujud sebarang gerakan atau usaha oleh kumpulan terbabit untuk merekrut warga tempatan bagi melaksanakan dan menyokong sebarang dakyah yang menjurus kepada elemen militan atau radikalisme.
“Kejayaan tangkapan terhadap tali barut sebelum ini memberi pengajaran kepada penduduk setempat untuk tidak terlibat dengan kumpulan terbabit,” katanya.
Beliau memberitahu, berdasarkan rekod ESSCom, sebanyak lima suspek yang disyaki mempunyai kaitan dengan aktiviti militan telah ditahan dalam beberapa operasi berasingan di Sabah pada tahun lalu.
“Semua suspek terbabit ditahan di bawah undang-undang Malaysia untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Ancaman militan asing

Sementara itu, Victor berkata, ESSCom sentiasa berwaspada dan meningkatkan tahap pemantauan keselamatan serta risikan terhadap ancaman militan asing seperti Royal Security Force (RSF) Sultanate of Sulu and North Borneo, Kumpulan Abu Sayyaf (ASG), Islamic State Daulah Islamiah (ISDI) serta elemen jenayah rentas sempadan seperti Kumpulan Kidnap For Ransom (KFRG) atau kumpulan penculikan untuk wang tebusan, sebagai fokus kajian.
Katanya, berdasarkan kajian ESSCom, potensi ancaman militan atau aktiviti penculikan di sempadan perairan negara berada pada tahap terkawal.
Perkembangan tersebut katanya, dibantu dengan operasi ketenteraan dan tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa Filipina yang melemahkan aktiviti serta gerakan ASG atau KFRG.
“Sementara itu, pengaruh dan gerakan kumpulan berkenaan untuk bergiat aktif di pantai timur Sabah turut menurun dan hampir lumpuh selepas laporan kematian dan penyerahan diri individu utama ASG di Filipina setakat Disember 2023.
“Sehubungan itu, pengaruh dan gerakan kumpulan berkenaan untuk bergiat aktif di pantai timur Sabah semakin menurun,” katanya.
Justeru katanya, rekod sifar insiden penculikan sejak 15 Januari 2020 sehingga kini merupakan petunjuk paling signifikan bahawa ESSCom dan pasukan keselamatan di ESSZone berhasil mengekang ancaman militan masuk ke negara ini dan membendung aktiviti penculikan di sempadan perairan negara.
Katanya, fokus utama ESSCom ialah mengekang ancaman pencerobohan gelombang kedua RSF selain memberi tumpuan terhadap usaha memerangi ancaman militan iaitu ASG tetapi mempunyai hubungan dengan elemen jenayah rentas sempadan seperti KFRG yang menjalankan aktiviti penculikan di luar sempadan negara.
“ESSCom turut membantu jabatan serta agensi penguatkuasaan Persekutuan dan negeri serta pihak berkuasa tempatan membanteras jenayah rentas sempadan melibatkan penyeludupan kontraban seperti narkotik atau senjata api, penyeludupan barangan tidak bercukai seperti rokok, penyeludupan barang kawalan atau bersubsidi serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya.
20 anggota ASG ditembak mati

Beliau menambah, setelah lebih sedekad penubuhannya, ESSCom berjaya menumpaskan sel-sel ASG dan KFRG di kawasan daratan dan perairan Sabah melalui beberapa siri operasi khas secara bersepadu yang dilaksanakan bersama pasukan keselamatan serta perkongsian maklumat perisikan dengan pihak berkuasa Filipina dan Indonesia.
Sejak 2015 katanya, seramai 20 anggota ASG ditembak mati dan 17 anggota ASG atau KFRG ditangkap.
Selain itu, kata beliau, sebanyak 12 cubaan penculikan, rampasan, rompakan digagalkan dari 2014 hingga 2018.
“Sebanyak 21 kes penculikan melibatkan 58 mangsa terdiri daripada 16 warganegara Malaysia dan 42 warga asing (Indonesia, Filipina, China dan Taiwan) direkodkan di ESSZone dengan kejadian terakhir berlaku pada 14 Januari 2020. Daripada jumlah keseluruhan mangsa culik tersebut, seramai 43 tebusan dibebaskan dengan wang dan lapan mangsa diselamatkan pihak berkuasa Filipina.
“Seramai enam tebusan ditemukan mati atau terbunuh dan seorang mangsa hilang. Secara relatifnya, ESSZone kekal stabil dengan tiada insiden penculikan berlaku dari Februari 2020 hingga kini,” katanya.
Perolehan aset taktikal

Ketika ditanya mengenai keadaan semasa aset ESSCom bagi menjalankan penguatkuasaan di ESSZone, katanya, ESSCom tidak memiliki aset keselamatan dan hanya mengkoordinasi operasi keselamatan di pantai timur Sabah dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Bagaimanapun, beliau berkata, ESSCom telah merancang bersama-sama jabatan atau agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mempertingkat operasi dan keupayaan kawalan pasukan keselamatan dari segi pembangunan, perolehan aset taktikal dan kapasiti sumber manusia.
Katanya, rancangan tersebut adalah:
i. Pembinaan Pos Poirgon, Kalabakan di bawah Rolling Plan Kedua (RP2), Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), Tahun 2022 yang akan dioperasikan oleh Briged Sabah Pasukan Gerakan Am (PGA);
ii. Memperkukuh pengawasan sasaran mencurigakan di sempadan melalui Sistem Radar Pengawasan Laut (SWASLA) yang akan dikendalikan Maritim Malaysia;
iii. Perolehan aset taktikal iaitu Floating Barge di Sungai Aji Kuning, Pulau Sebatik dan sejumlah unit Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) atau bot laju yang akan dioperasikan PGA dan ditempatkan di lokasi strategik sekitar pesisir dan perairan ESSZone;
iv. Cadangan perolehan unmanned aerial vehicle (UAV), dron dan kamera jarak jauh dioperasikan ESSCom bagi mengesan dan memantau sasaran yang mencurigakan;
v. Penempatan satu kompeni daripada Batalion 14 PGA, Tawau untuk memperkuat keupayaan kawalan pasukan keselamatan di sempadan Malaysia–Indonesia yang mana bertindak sebagai langkah awal pengukuhan kawalan sempadan sebelum penubuhan PGA yang berkekuatan satu batalion di daerah Nabawan, Keningau dan Kunak.
Tambahnya, kehadiran ESSCom yang mengkoordinasi pelbagai agensi keselamatan dan penguatkuasaan amat penting dan wajar dikekalkan kerana secara langsung membina keyakinan serta meningkatkan rasa percaya dan selamat bukan sahaja masyarakat tempatan tetapi juga luar negara untuk melancong ke pusat pelancongan yang ada di ESSZone. – 30 Januari, 2024